Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah Mohon Maaf

Monday, February 25, 2013 by
 Pakar Motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah


SHAH ALAM - Pakar Motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah meminta maaf kepada semua pihak terhadap kenyataan beliau berhubung isu doa baru-baru ini.

Dalam laman sosial Facebook miliknya, Fadzilah tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan salah faham semua pihak dan membersihkan maruah keluarganya.

“Saya hanya seorang rakyat biasa dan bukan bercakap sebagai orang politik. Saya langsung tidak bermaksud untuk memalukan mana-mana pihak. Amat malang sekali bila komen saya dipolitikkan hingga menyebabkan kemarahan pelbagai pihak,” katanya.

Jelasnya, apabila bercakap tentang kezaliman, beliau memberikan pandangan secara umum dan membandingkan situasi di Malaysia dan situasi dan penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, di majlis Bantuan Amal Palestin itu, melalui ucapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan mengenai kezaliman Israel terhadap saudara sesama Islam kita di Palestin.

“Itu sebab saya katakan, berbanding penderitaan rakyat Palestin, kita di Malaysia amat bahagia dan tidak dizalimi. Inilah konteks hujah saya ketika itu.

“Justeru, saya amat sedih bila orang mendoakan kehancuran saudara sesama Islam sama ada di Malaysia atau di mana-mana di dunia ini. Saya juga amat sedih jika tindakan kita itu disalahertikan oleh orang bukan Islam di Malaysia," katanya.

Fadzilah turut menjelaskan, rakaman temuramah tersebut dilakukan dalam suasana sekitar yang agak bising menyebabkan beliau menguatkan suara untuk menenggelamkan kebisingan di persekitaran.

“Saya ditemu ramah lebih 10 kali oleh pelbagai stesen TV, radio, akhbar, majalah & blogger.

“Ini menyebabkan suara saya dianggap kasar bila menjawab soalan yang diajukan. Bila dah menjawab terlalu banyak soalan, maka soalan daripada blogger (penemuramah terakhir) saya jawab dalam keadaan yang tergesa-gesa dan mungkin tidak berfikir dengan mendalam,” katanya.

Beliau juga sedih terhadap tindakan segelintir pihak memuat naik gambar anak-anaknya dan menjelaskan gambar tersebut diambil setelah mereka berkahwin.

“Saya amat sedih apabila gambar anak disebarkan semula. Gambar anak lelaki saya dan isterinya juga disebar, walhal gambar tersebut selepas mereka berkahwin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang bertanggungjawab memuat naik rakaman video dan gambar-gambar tersebut bertindak memadamkannya bagi menjaga maruah keluarganya.-SH

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©