Pasukan Khas Siasat Kes Wanita Indon Dakwa Dirogol Anggota Polis

Monday, November 12, 2012 by
 
Siti Maemanah Kasman, 25, (kanan) bersama Lau Chiek Tuan menunjukkan laporan polis di pejabat MCA,Bukit Mertajam. 



PERAI: Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes seorang wanita Indonesia yang mendakwa dirogol tiga anggota polis di sebuah balai di sini, pagi Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah mengesahkan pihaknya menubuhkan pasukan khas itu bagi menjalankan siasatan terperinci.

Menurutnya, pasukan khas itu menjalankan siasatan lebih menyeluruh dan meliputi pelbagai aspek.

“Saya memberi jaminan siasatan yang adil dijalankan tanpa melindungi mana-mana pihak sekalipun yang didakwa itu adalah anggota polis,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan seorang wanita berasal dari Jawa Tengah, Siti Maemanah Kasman, 25, mendakwa diperkosa tiga anggota polis dalam sebuah bilik sebuah balai.

Wanita berkenaan mendakwa dirogol anggota polis berkenaan apabila dia dibawa ke balai berkenaan selepas ditahan kerana tidak membawa pasport di kawasan flat, di sini, jam 6.20 pagi.

Siti Maemanah mendakwa dia ditahan dua anggota polis yang menaiki kereta peronda sebelum membawanya ke balai dan didapati terdapat dua lagi anggota polis berada di situ.

Dakwanya, ketika merayu supaya dilepaskan, salah seorang daripada anggota polis yang menahannya minta supaya dia ‘melayan’ keempat-empat anggota itu.

Pekerja sebuah kedai makan itu terpaksa melayan nafsu termasuk melakukan seks oral terhadap tiga daripada empat anggota polis terbabit.

Dia mendakwa melakukan hubungan seks secara bergilir-gilir dengan tiga anggota polis terbabit di atas tilam dalam sebuah bilik di belakang kaunter balai itu.

Wanita itu mendakwa dihantar pulang ke Taman Impian, Alma oleh anggota polis terbabit jam 7.30 pagi dengan kereta persendirian.

Menurut Mazlan, tiga anggota polis dari Balai Polis Perai itu kini direman sehingga 16 November ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Katanya, semua anggota polis berkenaan ditahan jam 7 malam iaitu selepas empat jam wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam pada petang hari kejadian.

“Apabila siasatan terhadap kes ini lengkap, laporannya dihantar ke timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Oleh Isma Ismail

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©