2 Inspektor Polis Didakwa Kerana Pukul OKT

Tuesday, November 13, 2012 by
GAMBAR fail menunjukkan anggota polis mengiringi dua pegawai berpangkat Inspektor yang dituduh membelasah seorang suspek kes samun hingga koma di Kuching 4 November lalu.

KUCHING – Perbuatan dua pegawai polis berpangkat Inspektor yang memukul seorang suspek kes samun hingga koma ketika ditahan awal bulan lalu memakan diri apabila mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan itu semalam.

Bagaimanapun, tertuduh pertama berusia 30 tahun dan tertuduh kedua berusia 32 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching itu mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Amelati Parnell.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Nagor kira-kira pukul 7 petang 4 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Peguam Shankar Ram Asnani yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah supaya identiti tertuduh serta mangsa kejadian tidak disiarkan atas sebab-sebab keselamatan.

“Kedua-dua pegawai polis ini juga merupakan mangsa dalam satu kejadian apabila mereka dipukul dan disamun ketika cuba meleraikan satu pergaduhan.

“Jadi saya memohon mahkamah supaya mengeluarkan perintah supaya identiti tertuduh dan mangsa yang terlibat dirahsiakan,” kata Shankar.

Amelati kemudian membenarkan permohonan tersebut selepas tiada bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Noorfadzila Ishak.

Amelati turut memerintahkan setiap tertuduh itu membayar wang jaminan masing-masing berjumlah RM10,000 dengan dua penjamin yang merupakan penduduk tempatan berpendapatan tidak kurang daripada RM1,500.

Kedua-dua suspek membayar jaminan tersebut dan kes itu akan disebut semula pada 28 Januari depan.

Baru-baru ini akhbar melaporkan, dua pegawai polis tersebut dipukul dan disamun ketika cuba meleraikan satu pergaduhan berhampiran sebuah premis hiburan di Jalan Padungan di sini pada 2 November lalu.

Kejadian pukul 2.30 pagi itu mengakibatkan dompet mereka yang mengandungi wang, kad kuasa dan beberapa dokumen penting lain dilarikan. Suspek turut mengeluarkan RM6,000 daripada akaun salah seorang Inspektor tersebut menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik.

Dua hari kemudian, tertuduh telah menahan suspek di sebuah rumah di Kampung Surabaya Hilir bersama seorang rakannya yang berusia 18 tahun. Suspek dipercayai telah dibelasah hingga koma ketika ditahan.

Dia yang mengalami pendarahan otak masih koma dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Oleh FIRDAUS HASSAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©