Wanita Mualaf 'Berzina' Dengan Suami Selama 13 Tahun
Monday, October 29, 2012 by Author
KOTA KINABALU: Seorang wanita mualaf kini hidup dalam kebingungan selepas mengetahui perkahwinannya sejak 13 tahun lalu tidak sah apabila ‘suaminya’ menggunakan sijil palsu selain tidak pernah melakukan akad nikah seperti pasangan lain.
Menyulitkan lagi keadaan, wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nursinah, 30, kini ada lima cahaya mata berusia empat hingga 12 tahun hasil ‘perkahwinannya’ itu, bimbang mengenai status taraf anaknya yang samar.
“Sepanjang berkahwin, suami tidak pernah menunjukkan sijil nikah kami dan hanya terbongkar sebaik saya terjumpa satu sijil yang disembunyikan suami dalam kereta.
“Saya membawa sijil itu ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk semakan dan terkejut apabila dimaklumkan ia sijil palsu,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Nursinah berkata, dia yang tidak tahu cara pernikahan Islam ketika itu hanya menurut kata lelaki terbabit yang memaklumkan mereka sudah bernikah ketika ke pejabat agama pada 1999.
“Saya pelik kerana suami hanya keluar dari pejabat agama sambil membawa sijil nikah dan memaklumkan kami sudah sah bergelar suami isteri.
“Walaupun pelik kerana tiada akad nikah dilakukan, saya terlalu naif ketika itu dan mengiyakan saja kata-kata suami,” katanya.
Ketika menceritakan perkara itu, Nursinah berkata, dia berkenalan dengan suaminya tanpa dirancang sebelum lelaki itu mengajaknya berkahwin selepas seminggu berkenalan.
“Ketika itu, saya sudah berkahwin selama lima tahun atas dasar pilihan keluarga tetapi perkahwinan kami tidak bahagia dan akhirnya berpisah begitu saja.
“Tanpa perasaan curiga, saya menerima lamaran suami untuk mendirikan rumah tangga sebelum kami bersama-sama ke pejabat agama untuk memeluk Islam dan bernikah,” katanya.
Nursinah berkata, mereka ke Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), untuk mendaftar sebagai mualaf sebelum bernikah. “Ketika di wisma itu, suami mengarahkan saya menunggu di kedai makan dan sebaik kembali kira-kira sejam kemudian, dia mengatakan saya sudah memeluk Islam dan bernikah dengannya.
“Saya hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu mengenai Islam dan selepas itu, kami menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain,” katanya.
Nursinah berkata, sepanjang mendirikan rumah tangga suaminya tidak pernah mengajarnya berkenaan Islam. “Malah, setiap kali bertanyakan mengenai sijil nikah, dia naik berang, malah saya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.
Menurut Nursinah, segala-galanya terbongkar apabila suaminya ditahan pihak berkuasa kerana didapati menyeleweng wang syarikat.
Katanya, susulan kejadian itu, dia nekad meninggalkan suaminya dan tidak mahu terus bergelumang dosa.
“Saya berharap ada pihak sudi membantu terutama jabatan agama kerana saya tidak boleh memfailkan kes ini di mahkamah syariah berikutan tiada sebarang rekod pernikahan kami.
“Saya mahu memulakan kehidupan baru dan bertaubat selain melupakan semua yang berlaku,” katanya.
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©