Polis Bazirkan Masa Tangani Kes Pergaduhan Dalam Facebook Dan Twitter
Monday, October 29, 2012 by Author
LONDON: Anggota polis di seluruh Britain dipaksa menangani kes pergaduhan kecil di Facebook, Twitter dan rangkaian sosial lain setiap hari ketika mereka sepatutnya menangani jenayah lebih serius.
Pegawai berkata, mereka menghabiskan masa dan sumber berharga dengan menangani pengguna Internet yang memaki hamun satu sama lain.
Dalam kebanyakan kes, polis hanya memberitahu mangsa supaya memadamkan ‘pengacau’ daripada rangkaian sosial mereka.
Bagaimanapun, Perkhidmatan Pendakwaan Mahkamah berkata, puluhan kes yang lebih serius dibawa ke mahkamah dengan jumlahnya semakin meningkat sejak beberapa bulan lalu.
Angka terbaru yang diperoleh akhbar Daily Mail menunjukkan, sekurang-kurangnya tiga tangkapan dibuat setiap hari berkait dengan kes menghantar mesej berbau serangan menerusi telefon bimbit dan komputer. Ia termasuk serangan terhadap bekas teman hidup menerusi mesej dan membuat ancaman palsu.
Seorang pegawai dari Essex yang enggan namanya didedahkan berkata: “Saya amat bimbang dengan jumlah masa yang dihabiskan untuk tugas Facebook.”
Dia memberitahu mengenai seorang lelaki yang berulang kali membuat laporan mengenai bekas teman wanitanya membuka akaun palsu, menyamar sebagai dirinya dalam Facebook. Apabila polis memberitahu lelaki itu supaya tidak menggunakan Facebook lagi, dia menjawab: “Tetapi saya tidak akan dapat melihat apa yang mereka cakap mengenai saya.”
Dalam kes lain, seorang wanita muda memberitahu polis di Dorset, dia menerima ancaman menerusi Facebook. Tetapi siasatan yang dijalankan menunjukkan, dia sebenarnya mengancam menyebarkan khabar angin mengenai seorang wanita yang menjawab: “Saya berharap kamu akan mati.” - DM
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©