Pasangan Pelajar Edar Dadah Hampir RM1 Juta Diberkas Di Genting Highlands

Friday, October 26, 2012 by

KUANTAN - Polis Pahang berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai RM708,000 selepas menahan sepasang pelajar kolej swasta warga Afrika di Genting Highlands, semalam.

Pasangan itu ditahan di kawasan sebuah hotel di Genting Highlands dan pihak polis percaya dadah berkenaan untuk diedarkan di kawasan Bentong, Temerloh dan
Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata hari ini, dalam kejadian 4 petang semalam, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM800, AS$300 dan 25 pound Mesir serta dua pasport.

“Polis memperkenalkan diri kepada suspek berumur 22 dan 23 tahun di tempat kejadian dan mereka kemudian cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.

“Hasil pemeriksaan (polis) menjumpai sebungkus plastik mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 1 kilogram dalam beg yang digalas suspek wanita.

“Pemeriksaan terhadap suspek lelaki pula menjumpai 700 gram dadah dipercayai syabu yang disorok dalam seluar dalam,” katanya.

Sharifuddin berkata, pemeriksaan ke atas suspek lelaki itu juga menjumpai 70 gram lagi bungkusan dadah jenis sama yang dibalut di pergelangan kaki kiri
menggunakan pita pelekat. 

Beliau berkata kedua-dua suspek yang belajar di kolej swasta berlainan di Kuala Lumpur itu dipercayai aktif mengedar dadah di Pahang sejak Ogos lepas.

“Polis percaya, ia mungkin sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Lelaki dan wanita itu direman seminggu bermula tarikh tangkapan untuk disiasat mengikut
Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Sharifuddin. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©