Dilema Wan Nor Fatihah Yang Terus Diburu 'Api Misteri'

Friday, September 21, 2012 by
 Wan Nor Fatihah menunjukkan api misteri yang sedang membakar kain

Kesan kebakaran angkara 'Api Misteri'

 Zainab menunjukkan api misteri (dalam bulatan) api misteri tersebut membakar tudung hijau pemilik rumah tersebut, Zainab Sulaiman, 75,di dalam sebuah bilik selepas disedari cucunya Wan Norfatini Wan Hanafi, 12, setelah terhidu bau asap. di rumahnya di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu.


KOTA BHARU -Biarpun diugut akan diganggu dengan lebih teruk, ‘Gadis api’ yang diekori api misteri sejak tiga tahun lalu tidak akan berputus asa untuk terus berikhtiar mengubati gangguan mistik itu.

Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14, yang tinggal di Kampung Bunga Emas, Penambang di sini, nekad untuk berusaha melawan ujian tersebut dengan hasrat bagi menikmati kehidupan lebih tenang seperti rakan-rakan sebaya lain.

“Saya tidak takut dengan apa yang dialami ini dan selagi ada hayat saya akan berdoa supaya api ini tidak muncul lagi. Kami tetap mencari jalan penyelesaian daripada gangguan yang dilalui sekian lama.

“Sekarang ini, dengan kemunculan api misteri di rumah ini, saya tidak boleh lemah semangat dan perjuangan untuk menghentikan semua gangguan tidak sewajarnya berhenti separuh jalan, apatah lagi mengalah begitu sahaja,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Nik Aziz bersama rombongan bertanya khabar ahli keluarga Wan Nor Fatihah ketika lawatannya dan turut mengadakan solat Hajat, semalam. 


Menteri Besar Kelantan itu mengunjungi rumah tersebut dengan tujuan untuk mengadakan solat hajat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran bagi memohon Allah supaya menjauhkan keluarga itu daripada api misteri itu.

Malangnya kata Zainab, 75, api berkenaan muncul di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah ketika Nik Abdul Aziz sedang mengadakan solat hajat di ruang tamu rumah mereka.

Bagaimanapun dalam kejadian kali ini, api tersebut tidak membakar sebarang benda atau peralatan di rumah itu sebaliknya hilang begitu sahaja.

Zainab tetap gembira menerima kunjungan Menteri Besar yang sudi membantu menyelesaikan masalahnya sekeluarga.

"Sudah 70 orang bomoh saya guna untuk hapuskan gangguan ini, duit pula sudah habis ribuan ringgit kami sudah hilang punca untuk menyelesaikannya," ceritanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wan Nor Fatihah juga memberitahu, semenjak kemunculan api tersebut keluarganya tidak putus-putus berikhtiar untuk melenyapkan api tersebut dan sejak pertama kali diekorinya kira-kira 77 pengamal perubatan sudah tampil membantu.

“Alhamdulillah jika sebelum ini saya dikejutnya dengan kemunculan api sebanyak 70 kali sehari sekarang gangguan terbabit semakin berkurangan dan ini adalah berkat doa serta izin ALLAH SWT untuk membantu saya.

“Biarpun kekerapan semakin kurang, namun gangguannya kadang-kalanya lebih teruk dan semua ini memberi kekuatan kepada saya untuk mengharungi ujian ini serta terus menamatkan masalah yang menghimpit diri ini,” katanya.

Akibat gangguan tersebut juga, fikiran Wan Nor Fatihah turut terganggu kerana ada yang mencemuh keadaan tersebut menyebabkan dia terpaksa mengasingkan diri daripada orang luar.

Semalam bermula sejak pagi sehingga jam 7 petang kira-kira enam kali api misteri tersebut muncul dan membakar pakaian di dalam rumah itu.

Dalam pada itu, Nik Aziz menasihatkan keluarga supaya bersabar dan sentiasa berusaha untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala.

“Saya berharap keluarga ini tidak berputus asa dan saya berdoa semoga mereka dilindungi ALLAH SWT daripada sebarang gangguan makhluk halus. Hakikatnya, ALLAH  SWT maha berkuasa ke atas segala sesuatu,” katanya.


0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©