Tuala Wanita Berisi 'Syabu'

Thursday, August 02, 2012 by
Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang disembunyikan.


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Afrika dikesan cuba menyeludup dadah dipercayai syabu dengan menyembunyikan kira-kira 500 gram dadah berkenaan pada alat sulitnya menggunakan pelapik khas dibentuk seperti tuala wanita.

Wanita berusia 30 tahun dan berasal dari Guinea, Afrika Selatan itu turut menyembunyikan satu kilogram lagi dadah sama dalam ruang khas bagasi dibawanya ditahan kira-kira jam 8 malam Khamis lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, wanita terbabit yang baru tiba dengan penerbangan dari Kaherah, Mesir, diperiksa secara rambang selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu kilogram dadah dipercayai syabu dalam ruang khas beg dibawa suspek dan pemeriksaan lanjut menemui 515 gram dadah sama dalam pelapik khas seluar dalam dipakainya.


“Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM270,000 dan mengikut rekod, suspek baru pertama kali masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek membalut dadah itu dengan pita pelekat menjadi seperti tuala wanita sebelum menyembunyikan dalam seluar dalam dipakainya.

Noor Rashid berkata, seorang lelaki warga Iran berusia 41 tahun turut ditahan di KLIA pada 26 Julai lalu selepas polis menemui sejumlah 1.15 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM200,000 dalam beg dibawanya.

“Lelaki itu ditahan sebaik tiba dengan penerbangan dari Doha, Qatar selepas pemeriksaan menemui dadah itu disembunyikan dalam ruang khas beg suspek,” katanya.

Oleh Muhammad Apendy Issahak

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©