HOCK SING (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar lelaki kacak yang digunakan Awang Hitam untuk menyamar pada sidang akhbar di Melaka semalam.
MELAKA - Warga Afrika seperti tidak pernah serik dengan kegiatan menipu wanita kesunyian walaupun banyak tangkapan telah dilakukan dan yang terbaru tiga Awang Hitam itu dan seorang wanita tempatan berketurunan Portugis diberkas atas kesalahan sama di sini kelmarin.
Suspek-suspek berusia antara 26 hingga 37 tahun tersebut diberkas dalam serbuan di sebuah apartmen di Batu Berendam di sini pada pukul 12 tengah hari selepas polis melakukan risikan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, sindiket tersebut menyasarkan wanita sunyi yang gemar melayari laman sosial untuk mencari teman berbicara.
Katanya, suspek menggunakan gambar lelaki kacak untuk menyamar dan memerangkap mangsa supaya jatuh cinta sebelum mula memperdaya wanita-wanita itu.
"Suspek kemudian menunjukkan beberapa sijil palsu menggunakan logo kerajaan Malaysia kononnya mereka diberikan projek bernilai jutaan ringgit termasuk pernah menerima cek berjumlah AS$1.8 juta (RM5.6 juta).
"Kesemua dokumen itu dihantar melalui e-mel dan mangsa yang sudi membantu suspek mengendalikan projek itu kemudian diarahkan memasukkan wang ke dalam akaun kononnya untuk membayar cukai, komisen dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar semalam.
Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©