8 Cedera Masjid Di Dagestan Kena Serang

Sunday, August 19, 2012 by
Umat Islam Dagestan menunaikan solat di Makhachkala ketika Ramadan 2004. - Foto fail ihsan AFP
MOSCOW - Dua lelaki bertopeng melepaskan tembakan di sebuah masjid di Dagestan, wilayah utara Rusia yang bermasalah, menyebabkan lapan orang cedera.

Kejadian letupan juga disaksikan beberapa jam selepas serangan itu.

"Bilangan mereka yang cedera akibat tembakan di masjid di bandar Khasavyurt telah meningkat kepada lapan," kata Kementerian Dalam Negeri.

Tembakan ke atas masjid itu, yang jemaahnya terdiri daripada puak Syiah berlaku lewat semalam ketika umat Islam bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Aidilfitri.

Umat Islam Rusia menyambut Aidilfitri hari ini, yang turut dikenali sebagai "Uraz-Bairam" di negara itu.

Dagestan menyaksikan kejadian tembakan dan letupan bom hampir setiap hari. Pihak berkuasa mengaitkannya dengan jenayah tempatan dan kumpulan yang ada hubungan dengan Chechnya.

Kebanyakan mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut.

Laporan juga menyebut satu letupan kedengaran di masjid yang sama beberapa jam selepas serangan, menyebabkan ramai lagi cedera.

Kira-kira 70 orang berada di dalam masjid ketika penyerang melepaskan tembakan.

"Satu letupan berlaku. Terdapat dua alat letupan. Satu meletup, satu lagi dapat digagalkan," kata polis kepada agensi berita RIA Novosti.

AFP memetik agensi berita Interfax melaporkan bahawa pihak berkuasa menafikan ada mangsa yang cedera ekoran letupan.

"Kami tidak ada maklumat mengenai letupan atau mereka yang cedera ketika kerja-kerja menggagalkan bahan letupan dilakukan," kata jurucakap polis kepada agensi itu.