Masjid Jama,Permata Di Kota Lama Delhi

Friday, June 08, 2012 by
Masjid Jahan Numa yang kini dikenali sebagai Masjid Jama

NEW DELHI - Bila disebut 'benua kecil India', akan terbayanglah makam Taj Mahal di mana bangunan yang diperbuat daripada marmar ini menjadi antara monumen yang mempamerkan senibina halus dari zaman Moghul di negara itu.

Antara bangunan yang indah zaman ini ialah Masjid Jahan Numa yang kini dikenali sebagai Masjid Jama Masjid di kota lama Delhi yang dibina oleh Maharaja Moghul kelima iaitu Shah Jahan.

Menurut sejarah, maharaja itu sendiri yang meletakkan batu asas masjid berkenaan di puncak sebuah bukit pada tahun 1650.

Kira-kira 6,000 pekerja dikerah bagi membina monumen yang dibina daripada batuan merah yang akhirnya siap pada tahun 1656, enam tahun selepas kerja pembinaan bermula, menurut Setiausaha kepada Majlis Penasihat Masjid Jama, Syed Tariq Bukhari.

Katanya, masjid berkenaan boleh memuatkan sehingga 25,000 orang pada satu-satu masa.

Masjid berusia 356 tahun itu adalah masjid yang terbesar di India dan satu-satunya mempunyai Imam Diraja untuk mengetuai sembahyang semenjak 13 generasi yang lepas.

Tenggelam mengikut peredaran masa

Syed Tariq yang juga adik kepada Imam Shahi sekarang, Maulana Syed Ahmed Bukhari, berkata masyarakat kini telah lupa bahawa masjid ini mempunyai ciri-ciri unik selain cerita yang tenggelam mengikut peredaran masa.

Terdapat beberapa artifak dalam masjid ini, antaranya ialah naskah Kitab Suci al-Quran yang berusia 1,400 tahun yang ditulis atas kulit rusa oleh menantu Rasullulah SAW., kata penjaga Masjid Jama, Syed Zahoor al Haq Hussaini.

"Ada satu lagi Quran yang juga ditulis atas kulit rusa oleh cucu Rasullulah SAW. tetapi hanya sebahagian sahaja disimpan di masjid ini manakala sebahagian lagi di Masjid Biru di Istanbul, Turki," kata Syed Zahoor yang adalah generasi ke-14 penjaga Masjid Jama.

Kedua-dua naskah al-Quran ini ditulis dalam bahasa Kufi, katanya.

Artifak yang lain adalah tapak kaki atas marmar, kasut yang diperbuat daripada kulit unta dan janggut Rasullulah SAW.

"Hanya tiga masjid di dunia yang mempunyai tapak kaki dan janggut itu iaitu Masjid Jama, Masjid Hazratbal di Srinagar dan Masjid Biru di Istanbul."

"Keajaiban tapak kaki berlaku di Makkah ketika Rasullulah SAW. sedang menunaikan sembahyang dan ketika itu lantai marmar menjadi lembut sehinggakan meninggalkan kesan tapak kaki," jelas beliau sambil menambah sebelah daripada kasut kulit unta itu ada di Masjid Jama, India dan sebelah lagi di Masjid Biru.

Para pelawat dibenarkan melihat artifak-artifak ini, kata beliau.

Terletak di atas bukit

Menurut Syed Zahoor, ketika masjid itu masih dalam pembinaan terdapat banyak rungutan tentang kelewatannya tetapi bila Maharaja Shah Jahan mengetahui setiap perletakkan batu didahului dengan bacaan ayat suci al-Quran, maka beliau rasa gembira dan membenarkan cara itu diteruskan.

Katanya lagi, masjid itu sebenarnya terletak di atas sebuah bukit yang dikenali sebagai Bhojla kerana maharaja mahukan monumen masjid itu lebih tinggi daripada takhtanya di dalam Kota Merah yang terletak berhadapan dengan Masjid Jama.

"Shah Jahan mahukan kedudukan mahkotanya lebih rendah daripada aras masjid ini," jelas beliau.

Maharaja itu juga mahukan Imam masjid itu terdiri daripada keturunan asal Rasullulah SAW. serta golongan mulia iaitu Bukhara di Uzbekistan, yang menjadi pusat cendikiawan Islam pada masa itu.

Katanya lagi, Imam berkenaan juga diberikan penghormatan memahkotakan Maharaja Moghul ketika itu.

Kerja baik pulih

Menurut Syed Tariq, kerja membaik pulih secara berterusan dijalankan di masjid itu menerusi usaha Pertubuhan Arkeologi India (ASI).

Bagi mengekalkan keadaan masjid berkenaan untuk 50 tahun yang akan datang, kerja membaik pulih diperlukan secara berterusan untuk lima tahun, jelas beliau.

Kata Syed Tariq lagi, terdapat juga perancangan bagi menjadikan masjid itu satu tarikan yang lebih besar bagi pelancong jika dibandingkan dengan keadaannya sekarang.

Pada masa sekarang, kira-kira 1,500 hingga 2,000 pelancong melawat masjid berkenaan dalam sehari.

Syed Tariq turut mencadangkan agar bangunan di sebelah jalan yang menuju masjid itu dibaikpulih mengikut senibina zaman Moghul bagi mengembalikan suasana era tersebut untuk menyambut ketibaan pelancong.

Pamerkan dua budaya

Kedudukan Masjid Jama juga menjadi titik pertembungan antara dua budaya yang boleh merancakkan lagi jumlah pelancong, kata Syed Tariq.

"Di sekeliling masjid terdapat 100 peratus penduduk Islam dan jika anda merentas ke seberang jalan, anda akan mendapati kawasan itu pula 100 peratus penduduk beragama Hindu.

"Jadi masjid ini menjadi satu monumen yang penting ke arah penyatuan kehidupan dan budaya," kata beliau.

Bagi para pelancong, di hujung lokasi mereka boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan masakan Moghul manakala di satu sudut lain mereka boleh merasai pelbagai hidangan berasas sayur-sayuran yang diamalkan penganut Hindu. - Bernama

1 comment:

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©