Anak Dedah Penipuan Ibu Menyamar Sebagai Bomoh & Tipu Wang Orang Ramai
Tuesday, April 10, 2012 by Author
KUALA LUMPUR: Seorang wanita bukan saja memperdaya lima mangsa sehingga mengakibatkan kerugian ribuan ringgit tetapi sanggup menipu anak perempuan dan suaminya juga.
Tidak tahan dengan penipuan ibunya itu telah mendorong anak perempuannya yang kini berusia 19 tahun tampil ke hadapan membuat pendedahan akan kegiatan penipuan ibunya yang menyamar sebagai seorang bomoh.
"Terdapat ramai mangsa yang berang datang ke rumah mencari ibu saya. Mereka turut merosakkan barang-barang kami. Saya bimbang jika adik-adik saya diserang oleh orang yang tidak dikenali pada masa hadapan," katanya kepada pemberita pada sidang media yang diatur oleh Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di Wisma MCA, Selasa.
Dia adalah antara tujuh mangsa yang menanggung kerugian wang tunai dan barang kemas bernilai hampir RM30,000 selepas diperdaya ibunya yang mendakwa boleh menghapuskan ilmu hitam.
"Hubungan saya dan ibu kini menjadi tegang dan rengang selepas suami saya enggan menjadi penjamin apabila ibu mahu membuat pinjaman sebanyak RM50,000.
"Dia mula mengugut kami dan cuba mencetuskan salah faham di antara saya dan suami. Dia juga menipu adik ipar saya sebanyak RM5,000. Kami berharap agar tiada lagi mangsa yang terpedaya selepas ini," katanya.
Seorang lagi mangsa, iaitu suami kepada bomoh tersebut berkata, dia telah menfailkan penceraian selepas menyedari siapa isterinya yang sebenar.
"Kami sudah bersama selama tujuh tahun dan dia telah melarikan pasport saya dan wang tunai sebanyak RM9,000. Saya berharap agar semua mangsa tampil dan mendedahkan kegiatan penipuannya itu," kata sisuami.
Sementara itu seorang lagi mangsa yang berkhidmat sebagai pegawai bank yang kerugian wang RM9,000 berkata, bomoh itu mendekatinya ketika dia mengambil surat di rumah kawannya, tempat di mana wanita itu tinggal.
"Dia menghampiri saya dan menakutkan saya dengan menjangkakan sesuatu yang buruk akan menimpa saya dan keluarga.
"Dia memberitahu saya hanya perlu menyerahkan beberapa barang berharga bagi membolehkan upacara ritual dilakukan. Dia juga mengarahkan saya supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu," kata pegawai bank yang berusia 31 tahun itu.
Dalam pada itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, suspek mungkin menggunakan modus operandi yang sama dengan menyamar sebagai bomoh tetapi masih ramai mangsa yang terpedaya dengan helahnya.
"Ini kerana rakyat di negara ini terlalu percaya kepada benda karut. Tahun lalu, kami mempunyai lima kes yang lebih kurang sama melibatkan kerugian bernilai RM160,000 manakala 12 lagi kes melibatkan RM800,000 pada 2009," katanya kepada para pemberita.
Oleh RAHIMY RAHIM
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©