Panas!! Fatihah Dakwa Dirogol Oleh Teman Lelakinya
Monday, March 26, 2012 by Author
PEKAN - Kes penculikan palsu Siti Nor Fatihah Mahadi, 15, dari Taman Tas Kuantan yang meraih simpati ramai pada 19 Mac lalu kembali panas apabila dia mendakwa dirogol teman lelakinya ketika dilarikan ke Nenasi Pekan.
Ketua Polis Daerah, Superinten-dan Yahaya Othman berkata, pihaknya dimaklumkan Fatihah hadir membuat laporan polis beberapa hari lalu mengenai dakwaan dirogol teman lelakinya berusia 26 tahun.
Menurutnya, kes itu bersabit di IPD daerah ini apabila Fatihah ditemui di sebuah rumah di Nenasi, sebelum dibawa polis ke IPD Kuantan dan diletak bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan.
“Selepas menerima laporan, pakar perubatan yang memeriksa keadaan Fatihah mengesahkan tiada kesan atau tanda dia dirogol.
“Pihak polis tidak membuat sebarang tindakan ke atas teman lelakinya dan menganggap laporan itu sebagai palsu yang sengaja direka dengan tujuan peribadi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan Hari Polis Ke-205 di Dataran Pekan.
Yahaya berkata, sesiapa sahaja didapati membuat laporan palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu, yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan laporan yang hendak dibuat terutama melibatkan penipuan kerana pihak berkuasa tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan itu,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Siti Nur Fatihah hilang dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya membeli kad tambah nilai prabayar di sebuah kedai telekomunikasi berhampiran rumahnya di Taman Tas, Kuantan.
Bagaimanapun pada 22 Mac lalu, remaja itu akhirnya mengaku dia tidak diculik, tetapi dengan rela hati melarikan diri ke rumah teman lelakinya di Kampung Merchong, Pekan.
OLEH: FAIRUS MOHD
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©