Kasanova Din Kudung Didakwa Lagi

Saturday, December 24, 2011 by
DIDAKWA...Jayanudin @ Din Kudung dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas enam tuduhan menipu seorang wanita membabitkan wang bernilai lebih RM23,000 berkaitan satu pelaburan emas di sekitar daerah ini, empat bulan lalu.
Mohamad Jayanudin Kasmin, 40, atau dikenali juga sebagai ‘Din Kudung’ yang memakai baju lokap jingga dan berseluar ungu tenang ketika tiga pertuduhan awal dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Haslina Basarudin.

Tertuduh yang juga bapa kepada empat anak dan berasal dari Melaka itu kemudian membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.
Mengikut pertuduhan pertama, Jayanudin didakwa menipu Roslina Hassan untuk mempercayai terdapat pelaburan emas dan secara tidak jujur mendorong wanita itu memasukkan wang tunai RM4,000 ke dalam akaun bank diberikannya.

Perbuatan berkenaan dilakukan di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 17 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa turut melakukan perbuatan itu membabitkan RM5,000 dan RM3,700 di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhidayah Mohd Nawawi.

Haslina membenarkan kos ikat jamin RM21,000 ditawarkan pendakwaan bagi semua pertuduhan dikurangkan kepada RM15,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan tarikh sebutan kes 25 Januari depan. Bagi tiga pertuduhan lain di mahkamah berasingan, Jayanudin didakwa turut menipu wanita sama menggunakan cara sama membabitkan RM10,890 di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah di depan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh dan meminta dibicarakan.

Mahkamah membenarkan kos ikat jamin RM15,000 ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli dikurangkan kepada RM10,500.

Sebutan semula kes ditetapkan 31 Januari depan. Muka depan akhbar ini Rabu lalu melaporkan lelaki berusia 40 tahun itu diburu berikutan kes tipu di Nilai, dekat sini, Oktober lalu membabitkan RM200,000.

Penjenayah ‘kasanova’ kembali aktif menipu wanita membabitkan ratusan ribu ringgit biarpun pernah meringkuk dua tahun dalam penjara, ditahan polis di depan pusat hiburan di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, petang Selasa lalu.

Lelaki cacat di tangan itu ditahan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di hadapan premis hiburan jam 5 petang.
Oleh Iskandar Shah Mohamed

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©