Mustafa Abdul Samad menunjukkan uniform kerja anaknya, Mastura (gambar kecil).
Seremban: “Mungkin hari raya kali ini disambut seperti biasa, tetapi saya pasti akan merinduinya (Mastura). Setiap tahun dia pasti beraya bersama kami sekeluarga walaupun kerjanya tidak menentu.
“Kadangkala dia berhari raya dengan kami pada hari raya pertama atau kedua dan kadangkala dia terpaksa bertugas pada hari raya pertama dan pulang menyambut raya beberapa hari kemudian,” kata Mustafa Abdul Samad, 83, bapa Mastura, 40, pramugari penerbangan MH17 yang terhempas di sempadan Ukraine-Russia.
Mastura antara 15 anak kapal yang terkorban selepas pesawat MH17 terhempas dipercayai ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu di kawasan bergolak di timur Ukraine 17 Julai lalu ketika dalam perjalanan dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang.
“Saya selalu terbayang Mastura memakai baju kerjanya berdiri di depan pintu rumah. Setiap kali dia mahu keluar bekerja, dia akan salam dan cium tangan serta meminta maaf dengan saya.
“Sebelum itu, dia memberitahu saya tempoh penerbangannya dan tempat yang akan dituju. Dia menaiki teksi untuk ke sebuah stesen minyak yang dijadikan tempat mereka berkumpul sebelum dijemput van disediakan Penerbangan Malaysia (MAS),” katanya.
Mustafa berkata, Mastura dan anak lelakinya, Muhamad Muhriz Marzaidi, 10, memang tinggal bersama, malah setiap tahun anak bongsunya itu akan membuat persiapan hari raya di rumahnya.
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©