Sarah Bajc (kiri) bersama kekasihnya Philip Wood, seorang warga Amerika Syarikat (AS).
NEW YORK - Seorang kekasih kepada penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu telah menerima ancaman bunuh, lapor portal berita NBC News semalam.
Ancaman bunuh itu diterima oleh Sarah Bajc yang merupakan kekasih kepada warga Amerika Syarikat (AS), Philip Wood, 50, iaitu penumpang pesawat MAS tersebut.
Bajc menerima ancaman itu dalam bentuk mesej menerusi telefon bimbit yang menyatakan: "Saya akan datang dan giliran anda dibunuh."
Ancaman itu diterima beberapa minggu selepas pesawat MH370 itu hilang pada 8 Mac lalu ketika dalam penerbangan ke Beijing, China dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Bajc turut menerima gambar-gambar pornografi dan panggilan yang dianggap 'menyeramkan' diterima dari nombor yang berpangkalan di China.
Menurutnya, apartmennya juga telah diceroboh sebanyak dua kali di Beijing.
"Sesiapa yang datang menceroboh itu tidak begitu berhati-hati kerana saya merupakan seorang yang cerewet berhubung penyusunan barang-barang dengan teratur dan kemas.
"Justeru, ia menjadi sesuatu yang amat jelas apabila saya melihat beberapa barang telah dialihkan (dari kedudukan asal).
"Pengemas rumah saya pergi keluar ke bandar raya. Justeru, perbuatan mengalihkan barang itu bukan dilakukan olehnya. Saya pula pulang ke rumah sebelum anak lelaki saya.
"Kata laluan peti deposit saya telah dibetulkan semula kerana ia berlaku setiap kali anda cuba memasukkan kod yang salah sebanyak tiga kali, " katanya.
Bajc berkata, kali terakhir rumahnya diceroboh adalah dua minggu lalu.
"Jiran saya melihat dua orang meninggalkan apartmen saya," katanya.
Bajc merupakan antara 350 keluarga yang meminta supaya data radar asal dari pesawat MH370 didedahkan untuk dibuat analisis oleh pihak yang bebas.
Dalam sepucuk surat kepada para pemimpin di Malaysia, China dan Australia, waris-waris keluarga MH370 mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa membuat kepastian bahawa pesawat Boeing 777 milik MAS itu terhempas di selatan Lautan Hindi.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.
Sebanyak 153 penumpang adalah warga China.
Sebelum pesawat itu hilang, Bajc sedang melakukan persediaan untuk berpindah dari Beijing ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama Wood yang bekerja dengan syarikat komputer IBM di Malaysia.
Menurut Bajc, panggilan-panggilan telefon itu tidak lagi diterimanya selepas seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan menyiasat kejadian tersebut.
Setakat ini, tiada serpihan pesawat itu yang ditemui dalam operasi mencari di selatan Lautan Hindi. - Agensi
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©