10.4 Juta Pengundi Tunjuk Kuasa Di Peti Undi

Monday, May 06, 2013 by



KESEDARAN tinggi dalam kalangan pengundi mengenai hak mereka untuk menentukan masa depan negara menyaksikan lebih 80 peratus atau hampir 10.4 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semalam.

Jumlah tersebut adalah yang tertinggi dicapai dalam pilihan raya di Malaysia. Pada PRU-12, jumlah mereka yang keluar mengundi ialah 76 peratus atau kira-kira lapan juta orang.

Pada tahun 2004, jumlah mereka yang keluar mengundi ialah kira-kira tujuh juta orang atau 73.51 peratus.

Sebanyak 13.26 juta orang layak mengundi pada PRU-13 yang menyaksikan buat pertama kali Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbelanja sebanyak RM5 juta untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal.

Jumlah mereka yang keluar mengundi semalam dianggap sebagai luar biasa oleh sesetengah pihak tetapi ia sebenarnya menepati ramalan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar sebelum ini.

Dalam satu taklimat bersama petugas-petugas Kosmo! di Kompleks Sri Utusan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Mac lalu, beliau berkata, empat faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah mereka yang keluar mengundi.

Pertama, kata beliau, daftar pemilih sekarang merupakan yang dikemas kini secara berterusan iaitu nama pengundi yang telah meninggal dunia selepas rekod kematian disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Ketika PRU-12, tidak dinafikan wujud pengundi yang telah meninggal dunia tetapi nama mereka yang ada dalam daftar pemilih tidak dapat dikeluarkan kerana SPR tidak menerima pengesahan kematian daripada JPN,” katanya.

Menurut Wan Ahmad, pengemaskinian data berjaya dilaksanakan hasil kerjasama SPR dengan Kementerian Dalam Negeri dan JPN.

Faktor kedua adalah kesan daripada program pendidikan pengundi yang berterusan dilaksanakan oleh SPR di seluruh negara, termasuk usaha-usaha serupa oleh pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik.

“Saya dapat merasakan wujud suatu semangat baharu dan kesedaran dalam kalangan rakyat untuk keluar mengundi pada PRU-13,” ujar beliau.

Faktor ketiga, katanya, merupakan hasil langkah yang diambil oleh SPR untuk memberikan hak kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan petugas media yang terpaksa bertugas ketika pilihan raya berlangsung.

Satu lagi faktor adalah senario politik negara terkini iaitu parti-parti politik berlumba-lumba menerusi pelbagai cara dan pendekatan secara agresif untuk mendapatkan undi daripada rakyat.

“Parti-parti politik menggunakan pelbagai cara memujuk walaupun hanya untuk satu undi dan kesannya rakyat yang sebelum ini tidak kisah kini mula berminat untuk keluar mengundi,” kata beliau.


Oleh SAMSOR JUNET

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©