Lelaki Tersangkut Hampir 4 Jam Di Atas Pokok Kelapa

Friday, January 18, 2013 by
Kelihatan Mohd Hafiz sedang turun menggunakan tangga dengan diawasi oleh Kaharudin, Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

 

PASIR PUTEH - Hasrat seorang lelaki untuk mengambil kelapa muda bertukar menjadi pengalaman menakutkan apabila dia tersangkut hampir empat jam di atas pokok kelapa di Kampung Padang Pak Omar, Selising dekat sini, malam kelmarin.

Mohd Hafiz Che Yusof, 30, yang sudah biasa memanjat pokok kelapa dikatakan memanjat pokok setinggi kira-kira 12 meter itu pada jam 6 petang tetapi tidak dapat turun seperti biasa.Dia terpaksa memekik untuk meminta pertolongan daripada penduduk ketika azan Maghrib berkumandang bagaimanapun penduduk gagal menyebabkan Bomba dan Penyelamat terpaksa dihubungi.

Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharudin Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.01 malam dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan tujuh anggota.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membantu Mohd Hafiz turun dengan mengikat tali pada badannya dan turun menggunakan tangga.

“Kami lega apabila berjaya menghulurkan tali kepadanya dan selepas mengikat pada badan, dia mula yakin untuk turun ke batang pokok dan menuruninya menerusi tangga yang kita sediakan.

Mohd Hafiz ketika ditemui berkata, dia sudah penat mencuba untuk turun dari pokok tersebut tetapi tidak berjaya.

“Saya keletihan berpaut pada pelepah kelapa sementara menunggu rakan membantu, mereka juga tidak dapat naik ke tempat saya.

“Saya tak nampak apa-apa di atas sana, tidak seperti biasa kerana suasana terlalu gelap dan saya rasa macam ada sesuatu atas pokok itu,” katanya yang turut dibantu rakan, Mohd Hafizal Zakaria, 21.

Penduduk yang ditemui berkata, Mohd Hafiz mahir memanjat kelapa dan tidak pernah menghadapi masalah untuk turun dari pokok kelapa.

Penduduk hairan kerana rakan-rakannya yang mahir juga gagal untuk naik ke atas pokok membantu tersebut walaupun berjaya mencapai pelepah.


OLEH NORHASRAM MOHAMAD

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©