BEBAS..Hamid Dollah (tengah) memeluk isterinya bersama Peguamnya Terrence Naidu (kiri)
TELUK INTAN: Seorang tukang urut membuat sujud syukur selepas bebas daripada dua pertuduhan merogol anak tiri berusia 13 tahun 9 bulan lebih setahun yang lalu, di sini, semalam.
Keputusan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Seksyen Teluk Intan, Adli Abdul Ghalib ke atas Hamid Dollah, 65, dari Manjoi Baru Tambahan, Ipoh, apabila pihak pembela berjaya membawa bukti baru dan menimbulkan keraguan yang munasabah.
Hakim Adli Abdul Ghalib ketika membacakan keputusan kes itu menyatakan, pihak pembelaan diwakili Terrence Naidu berjaya membuktikan kepada mahkamah melalui satu laporan doktor dari Pusat Pakar Ipoh.
Laporan itu mengesahkan tertuduh tidak memiliki keupayaan untuk melakukan persetubuhan ke atas mangsa.
Sehubungan itu, Hakim Seksyen Teluk Intan memerintahkan tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada dua pertuduhan merogol anak tirinya, lebih setahun lalu.
Sebelum itu, Hamid menghadapi tuduhan pertama iaitu melakukan persetubuhan dengan mangsa berusia 13 tahun 7 bulan kira-kira jam 9 pagi, di sebuah bilik tidur dalam sebuah rumah bernombor 87, Taman Cicely, Jalan Changkat Jong, pada Januari 2011 lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Hamid dituduh melakukan perkara yang sama pada 12 Mac 2011, kira-kira jam 3 pagi di alamat yang sama ketika mangsa berusia 13 tahun 9 bulan.
Hamid dituduh di bawah Seksyen 376B Akta Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.
Sementara itu, pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya, Suffian Jaafar.-SH
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©