Perogol Bersiri Diburu Polis

Thursday, September 20, 2012 by
Gambar fotofit suspek perogol bersiri yang sedang diburu oleh pihak polis.


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai perogol bersiri kini diburu polis selepas dua wanita membuat laporan mendakwa mereka dirogol dan disamun penjenayah terbabit yang menggunakan taktik menawar pekerjaan dengan gaji lumayan sehingga RM400 sehari sebelum merogol mangsa.

Lelaki terbabit dipercayai menggunakan modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web di Internet sebelum memujuk dan memperdaya mangsanya supaya hadir menjalani ‘temu duga’ di bilik hotel bajet di ibu negara.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, teruja dengan tawaran gaji lumayan, mangsa yang berhubung melalui e-mel dengan suspek hadir di sesi temu duga sebelum diperkosa dan barang berharga disamun.

Menurutnya, pihaknya menerima dua laporan setakat ini dan percaya kedua-dua kejadian jenayah itu dilakukan suspek sama kerana taktik digunakan sama.


“Kes pertama dilaporkan pada awal Ramadan lalu, dengan seorang wanita berusia awal 20-an mendakwa dirogol dan disamun seorang lelaki ketika menghadiri temu duga kerja di sebuah hotel bajet di ibu negara.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pendaftaran hotel berkenaan bagi mengenal pasti suspek.

"Ini kes kedua dilaporkan berdasarkan modus operandi sama. Kes pertama berlaku akhir Julai lalu melibatkan mangsa berusia 23 tahun," katanya.

Khairi berkata, polis sedang mengesan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Inspektor Izhamaz Niza Abdul Hamid di talian 03-21460522 sambungan 167.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©