Dua 'Bouncer' Kelab Hiburan Mati Ditembak

Monday, August 27, 2012 by
ANGGOTA polis menyiasat tempat dua pengawal mati ditembak oleh sekumpulan enam lelaki di sebuah pusat hiburan di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR: Dua 'bouncer' atau pengawal di sebuah kelab hiburan di Jalan Dooraisamy di sini mati setelah ditembak di hadapan premis berkenaan awal pagi Ahad, dipercayai dilepaskan oleh seorang daripada sekumpulan lelaki yang dikatakan meradang kerana dihalang memasuki kelab hiburan itu.

Kumpulan itu bagaimanapun berterusan mendesak 'bouncer' berkenaan agar membenarkan mereka memasuki kelab tersebut namun tindakan itu telah mencetuskan pergaduhan sehingga berlaku kejadian tumbuk-menumbuk antara mereka.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan Mohd. Akmal Jemain dan Muhammad Noor Rashid, masing-masing berusia 21 tahun, maut akibat cedera parah di kepala dan dada.

Mohd. Akmal maut di tempat kejadian pada pukul 5 pagi manakala Muhammad Noor pula disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Muhammad Noor merupakan peniaga pasar malam namun kerja separuh masa sebagai pengawal pusat hiburan tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata seorang daripada lelaki itu naik berang apabila melihat dua rakannya dipukul teruk, lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua 'bouncer' berkenaan.

Zainuddin berkata tembakan itu mengenai bahagian kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua yang menjadi punca kematian.

Seorang mangsa mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mati di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di HKL.

Zainuddin berkata serpihan tembakan itu turut mencederakan dua orang awam yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.

Kedua-dua orang awam yang mengalami kecederaan di tangan dan jari dihantar ke HKL untuk rawatan, katanya.

Zainuddin berkata polis sedang memburu anggota kumpulan terbabit yang melarikan diri selepas insiden itu termasuk suspek yang disyaki melepaskan tembakan menggunakan pistol semi-auto jenis Revolver untuk membantu siasatan.

"Motif sebenar pergaduhan dan berapa das tembakan yang dilepaskan masih dalam siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.

1 comment:

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©