Waktu Yang Paling Mustajab Untuk Bertaubat

Tuesday, July 24, 2012 by


Sesungguhnya Allah, seperti yang tersebut dalam surah an-Nisa: 27 menyatakan kesungguhan-Nya untuk menerima taubat setiap hamba-Nya. Walaupun mereka yang tunduk, kalah oleh runtunan hawa nafsu berusaha untuk menyimpang, berpaling jauh daripada Allah, tidak mahu bertaubat.

Perlu diinsafi dan disedari bahawa Allah itu amat suka dengan mereka yang bertaubat (al-Baqarah: 222), biar betapa banyak dosa yang dilakukan oleh seorang hamba yang beriman. Sesungguhnya Allah itu amat menerima taubat hamba-Nya (an-Nisa: 15 & 63).

Dalam surah at-Taubat: 104 dijelaskan firman Allah yang bermaksud: Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan menerima zakat dan bahawasanya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya bertaubat itu terlalu mudah. Taubat bererti insaf, sedarkan diri terhadap kesalahan yang telah dilakukan berserta azam tidak akan mengulangi dosa yang sama, juga lain-lain dosa, di samping menjauhkan diri daripada wasilah (perantara) yang boleh menyebabkan seseorang itu terlibat dengan dosa yang sama. Orang yang berkenaan hendaklah melakukan banyak ibadah dan kebajikan.

Orang yang bertaubat kerana minum arak, mesti menjauhkan diri dari tempat-tempat di mana dia terlibat dengan arak, memutuskan hubungan dengan teman-teman yang menggalak, memperkenal atau menemaninya minum arak.

Orang yang terlibat dengan zina mesti mengelakkan diri dari tempat-tempat perzinaan, di lorong-lorong mati, hotel-hotel, rumah-rumah urut dan sebagainya, juga memisahkan diri daripada berhubung dengan GRO-GRO yang dilangganinya.

Allah seperti yang dijelaskan dalam surah Isra’: 32, melarang setiap orang itu daripada menghampiri zina. Tidak dijelaskan dalam ayat ini secara terus tentang larangan zina, kerana perbuatan zina itu lumrahnya akan didahului oleh wasitah atau perantaraan yang merangsang kepada zina, seperti bercumbu-cumbuan, berkhalwat, menonton video lucah, minum arak dan sebagainya.

Sekiranya wasitah ini dapat dielakkan, perbuatan zina itu akan dapat dihindarkan. Sebaliknya perbuatan ini tidak dapat dielakkan, besar kemungkinan zina itu akhirnya akan berlaku. Kerana itu larangan Allah ini mesti dijauhi.

Taubat itu adalah hidayah daripada Allah, bagi mereka yang menginsafi diri. Taubat yang sebenar adalah taubat nasuha, lahir daripada rasa menyesal hakiki, ikhlas, berazam tidak mengulangi di samping memperbanyakkan ibadah.

Biarpun taubat itu begitu mudah, boleh dilakukan pada bila-bila masa, siang atau malam, seseorang itu perlu memilih waktu juga tempat agar taubat dan ibadah yang dilakukan itu dapat dihayati.

Waktu yang elok untuk bertaubat di antaranya ialah pada satu per tiga malam yang terakhir, iaitu lebih kurang selepas pukul 3 hingga 5 pagi. Itulah yang dinamakan waktu mustajab. Pada waktu itu, seperti yang tersebut dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Allah akan menerima taubat mereka yang bertaubat dan menerima doa bagi mereka yang berdoa.

Dalam sebuah hadis daripada Asma’ bin al-Hakam al-Fazari, beliau menyatakan yang dia mendengar Saidina Ali berkata, bahawa beliau telah mendengar satu hadis yang memberi manfaat kepadanya, di mana hadis tersebut adalah daripada Saidina Abu Bakar, Rasulullah yang bersabda: Tidak ada seseorang pun yang berdosa satu dosa, lalu dia bangun dan membersihkan diri dan sembahyang, kemudian memohon keampunan Allah, kecuali Allah mengampuni akan dia, kemudian dia membaca ayat ini (Ali-Imran: 135) yang bermaksud: Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan mereka mengetahui – hadis hasan.

Masalah timbul apabila sebahagian daripada mereka yang melakukan dosa, tidak kira dosa apa, besar atau kecil beranggapan bahawa taubat itu satu urusan yang berat lagi sukar. Sukar untuk memahaminya, juga untuk melakukannya.

Urusan yang berkaitan dengan hak manusia mesti disempurnakan apabila seseorang itu bertaubat. Apabila seseorang itu memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah, tanggungjawab kepada sesama manusia seperti hutang, termasuk hutang-hutang lapuk yang tidak dibayar kerana tidak berupaya melakukannya, ataupun kerana sengaja tidak mahu membayarnya, kepada mereka yang berurusan perniagaan atau sebagainya.

Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu berhutang kepada jirannya sebanyak tiga ribu ringgit, dia mesti melangsaikannya. Ini termasuklah hutang surat khabar yang dihantar hari-hari ke rumah, roti yang dihantar setiap petang, barang runcit yang diambil setengah bulan sekali di kedai koperasi dan sebagainya.

Bagi abang yang membolot harta pusaka peninggalan orang tua daripada adik-beradik lain mesti memulangkan hak tersebut menurut pembahagian faraid dan mohon halal daripada mereka yang berhak selama mana abang tadi mengambil manfaat daripada harta peninggalan tersebut. Hak-hak tersebut termasuklah hak yang bukan bersifat kebendaan, seperti perbuatan memfitnah, tohmah, tuduhan palsu, amalan menyakiti orang lain termasuk perbuatan sihir.

Hak yang tidak bersifat kebendaan ini perlu dipohon maaf kepada orang yang terlibat. Sekiranya mereka yang terlibat tidak mahu memaafkan, taubat masih tetap diperlukan dan permohonan maaf tetap dimestikan kerana tuntutannya terlalu besar di akhirat kelak.

Hak-hak seumpama inilah di antara penentu sama ada seseorang itu akan dimasukkan dalam syurga atau dihumban ke neraka.

Tempat di mana roh seseorang itu berada bergantung kepada tanggungjawab hutang ke atasnya. Sekiranya maaf telah dipinta tetapi orang yang dianiaya tidak sudi memaafkannya, orang yang terlibat hendaklah memperbanyakkan taubat dan minta keampunan kepada Allah di samping memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan agar Allah memaafkannya. Ibadah dan kebajikan mengimbangi dosa-dosa yang dilakukan di samping keampunan Allah.

Orang yang berhutang wajib membayar hutangnya. Sekiranya si piutang telah meninggal, hutang itu hendaklah dibayar oleh keluarganya yang masih hidup.

Sekiranya keluarga tersebut tidak diketahui, orang yang berhutang hendaklah bersedekah kepada fakir miskin, sebanyak jumlah hutang yang dilakukan, di samping melakukan taubat dan ibadah kepada Allah, agar Allah menerima taubat, istighfar dan ibadah yang dilakukan.
Oleh: Dr. Amran Kasimin

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©