Kisah Tiga Generasi Yang Semuanya Kerdil

Sunday, May 06, 2012 by
BAHAGIA...Zul Afif (kanan) memberikan minuman kepada Maimon sambil diperhatikan Azizah.

NENEK, ibu dan anak - tiga generasi ini semuanya kerdil. Biarpun perit untuk ditelan, itulah suratan takdir keluarga ini.

Ujian itu bermula apabila si nenek, Maimon Ahmad, 62, dilahirkan sebagai insan kerdil meskipun secara genetik, keturunannya normal. Nasib sama dilalui anaknya, Mustafa Kamal (meninggal dunia tujuh tahun lalu pada usia 29 tahun), Azizah Zaifah Abu Bakar, 35, dan dua cucunya, Muhammad Zul Afif, 17, dan Nurul Intan Syazwani, 13.

     IKHLAS...Azizah (kiri) membetulkan tudung Maimon.

     
     SENASIB...generasi kedua dan ketiga.


  
  PENYAYANG...Zul Afif (kiri) melayan kerenah anak saudaranya.




Insan istimewa ini bukan saja mengharungi kepayahan kerana keadaan fizikal yang membataskan pergerakan, malah turut menghadapi cabaran berganda apabila Maimon mengalami masalah kesihatan yang memaksa ahli keluarganya melakukan pengorbanan bagi memastikan kebajikannya terjamin.

Maimon yang tidak mampu berjalan selepas menghidap strok tujuh tahun lalu, hanya mampu merangkak untuk ke bilik air setiap hari sepanjang ketiadaan anaknya yang keluar bekerja.


Keadaan warga emas itu semakin teruk selepas terjatuh akibat diserang strok kali kedua baru-baru ini, dan dia kini hanya terlantar di ruang tamu rumah sepanjang masa dan terpaksa dipakaikan lampin pakai buang.


Sudah lima tahun dia tidak boleh berjalan selepas diserang strok kali pertama dan hanya bergantung harap pada kasih sayang Azizah, yang juga orang kerdil, untuk menjaganya.

Azizah dan Mustafa Kamal adalah anak Maimon hasil perkahwinannya dengan lelaki normal, Abu Bakar Hashim yang meninggal dunia 17 tahun lalu. Pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak, Kahlil Akhasah, 31, yang normal.

Seperti Maimon, skrip kehidupan Azizah hampir sama dengan emaknya. Dia yang turut mendirikan rumah tangga dengan lelaki normal, dikurniakan tiga anak dengan dua daripadanya mewarisi genetik kerdil iaitu anak sulung, Muhammad Zul Afif, 17, dan anak bongsu, Nurul Intan Syazwani, 13. Seorang lagi anaknya ialah Muhammad Zul Helmi, 15.

Secara kebetulan, bapa Azizah, Abu Bakar dan abangnya, Mustafa Kamal meninggal dunia kerana mengalami masalah kesihatan sama iaitu paru-paru.

Azizah mengambil alih tanggungjawab menjaga ibunya selepas kesihatan wanita itu merosot akibat diserang strok kali pertama.

“Sebelum ini, ibu masih boleh merangkak untuk ke tandas, tapi selepas terjatuh kali kedua baru-baru ini dan dimasukkan ke hospital, dia tak mampu lagi merangkak ke tandas, sebaliknya terpaksa dipakaikan lampin pakai buang.

“Ibu baru keluar hospital sebulan lalu dan sejak itu, dia yang turut mengalami masalah jantung dan paru-paru sering semput hingga lebih banyak mendiamkan diri,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, selepas ibunya diserang strok kali pertama, bapa saudaranya (sudah meninggal dunia) sering membawa ibunya menjalani fisioterapi dan wanita itu mampu berjalan semula, namun selepas serangan kali kedua, warga emas dengan berat lebih 90 kilogram itu langsung tidak boleh bangun atau berjalan hingga kini.

“Sekarang, kami hanya mengharapkan bantuan kerusi roda untuk mengangkat dan menghantar ibu ke hospital bagi menjalani rawatan. Disebabkan keadaan fizikal begini, saya juga menghadapi masalah untuk mengangkat ibu. Mujur rakan dan jiran memahami kesulitan kami dan sedia membantu,” katanya.

Sebelum keluar bekerja sebagai juruwang parkir pada jam 1 tengah hari, dia terlebih dulu memandikan dan memasak makanan untuk ibunya. Selepas ke tempat kerja, anaknya, Zul Afif yang pulang daripada sekolah, mengambil alih tugas menjaga neneknya, termasuk menukar lampin pakai buang.

Anak muda itu terpaksa mengetepikan rasa malu ketika melakukan tugas yang biasa dilakukan wanita demi memastikan kebersihan neneknya terjamin.

Adik perempuannya, Syazwani tidak mampu melakukan tugas berkenaan kerana saiz tubuh yang terlalu kecil iaitu seperti kanak-kanak berusia tiga tahun membataskan kemampuannya.

Azizah berkata, hidupnya tidak tentu arah apabila ibu dan abangnya mengalami sakit pada waktu sama, menyebabkan dia rasa bertanggungjawab untuk menjaga mereka.

Dia yang ketika itu menetap di Perlis bersama suami dan tiga anak terpaksa meninggalkan keluarga bagi menjaga dua ahli keluarganya yang sakit.

“Waktu itu, saya tidak bekerja manakala adik lelaki belum ada kerja tetap. Selepas tiga tahun menjaga ibu dan abang yang menyebabkan saya perlu tinggal di Kuala Lumpur serta berjauhan dengan keluarga, saya dan suami bercerai,” katanya.

Apabila kehidupan Azizah semakin stabil, anak yang sebelum itu dalam jagaan bapa mereka meminta untuk tinggal bersamanya.

Dia yang sudah tujuh tahun menjadi ibu tunggal menyara keluarga dengan gaji hanya RM1,000 sebulan. Namun Azizah bersyukur kerana jiran dan saudara banyak membantu meringankan beban ditanggungnya.

“Alhamdulillah, saya mendapat jiran yang baik, selalu mengambil berat dan sedia membantu. Apabila saya balik lewat kerana ke luar daerah, jiran yang tahu saya tiada di rumah memberi makanan kepada ibu. Anak juga mengambil berat kebajikan nenek mereka dengan memberi makan dan menukarkan lampin.

“Hanya Tuhan yang tahu betapa susahnya saya mahu menjaga ibu, tambahan pula kini dia menghidap kencing manis. Luka gigitan nyamuk pun boleh mendatangkan bahaya kepadanya,” katanya.

Azizah pernah berlakon dalam drama bersiri Puteri Salju, Akademi Polis dan Senario - Pemburu Emas Yamashita. Bagaimanapun, dia sukar memberi komitmen kerana berlakon tidak tentu masa menyukarkannya untuk memberi perhatian terhadap penjagaan ibunya.

Anak Azizah memahami keperitan ditanggungnya dalam membesarkan mereka tiga beradik selain menjaga nenek yang sakit.

Bagi meringankan beban keluarga, Zul Afif menerima tawaran berlakon iklan selain memenuhi undangan sebagai badut bagi menghiburkan tetamu asing dalam sesuatu majlis. Zulhelmi pula rajin mengambil upah mengecat rumah serta memasang pelamin.



INFO

Masyarakat kerdil sebahagian daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dua kategori orang kerdil:

> Orang kerdil normal - bentuk badan yang kecil dengan ketinggian tidak melebihi 142 sentimeter (sm) bagi lelaki dan 137sm bagi wanita.

> Orang kerdil anggota - mempunyai kecacatan anggota dengan ketinggian tidak melebihi 142sm bagi lelaki dan 137sm bagi wanita.
Dianggarkan ada 2,000 orang kerdil berbilang kaum di Malaysia.
Pecahan masyarakat kerdil mengikut jantina ialah 48 peratus lelaki dan 52 peratus perempuan.

Oleh: NORAINON OTHMAN

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©