GRO Melayu Menjadi Hamba Duit Dan Boneka Lelaki

Saturday, May 19, 2012 by
 Majoriti pelanggan GRO di kelab malam atau pusat karaoke di Lembah Klang terdiri daripada lelaki Melayu berusia 30 tahun ke atas.


"AKU sudah tidak sanggup hidup susah. Selepas ditinggalkan suami, aku buntu bagaimana harus aku membesarkan anak yang masih kecil secara sendirian.

"Hendak bekerja selesa, aku tidak pernah masuk universiti. Jadi, aku sekadar mencuba nasib dalam lapangan yang tidak memerlukan sijil tinggi.

"Bermula sebagai pelayan di sebuah kelab malam, rupa parasku tidak henti-henti dipuji ratusan pelanggan.

"Nekad dengan tawaran yang dijanjikan, aku tinggalkan maruah seorang wanita dan berpegang pada gelaran pegawai perhubungan pelanggan (GRO)."

Begitulah bingkisan rasa yang dibenam bekas GRO yang hanya mahu dikenali sebagai Luna ini.

Wanita ini baru berusia 26 tahun manakala anak lelakinya berumur 6 tahun. Rumah tangga yang dibina bersama bekas suami runtuh angkara orang ketiga. Sejak detik itu, Luna hanya mengejar wang ringgit.

Fasa tiga tahun bergelumang dalam kegelapan banyak mendidik Luna tentang nilai sebuah kehidupan.

Janji-janji lelaki berhidung belang, diperalat ibu bapa sendiri dan duit yang tidak pernah mencukupi membayangi kehidupan wanita bertubuh genit ini.

"Mula-mula saya merahsiakan pekerjaan sebenar daripada ibu bapa tetapi lama-kelamaan mereka hairan dengan pendapatan yang saya miliki.

"Hampir setiap hari saya memberi mereka wang memandangkan anak saya dijaga oleh mereka. Selepas berterus-terang, mereka hanya diam dan tidak pula meminta saya berhenti," keluh Luna kecewa.

Pada permulaan profesion hitam tersebut, Luna tidak mengambil masa lama untuk memancing 'ikan besar'. Untung kecantikan yang dimilikinya, Luna diambil bekerja oleh seorang usahawan Jepun di ibu kota sebagai pembantu peribadi.

Dunia GRO ditinggalkan sementara dan Luna fokus pada tugas baharunya itu. Bak kata pepatah, terlepas daripada mulut buaya, masuk ke mulut harimau, hidup Luna tidak banyak bezanya selain memenuhi serakah lelaki dari Negara Matahari Terbit itu.

"Saya bekerja dengan lelaki Jepun yang berusia 40-an itu selama lima bulan. Dia perlu kembali ke negaranya semula dan apa yang melucukan, dia ingin saya ikut balik ke Jepun.

"Saya diberi masa seminggu tinggal di Jepun dan jika tiada masalah, saya boleh menetap terus tetapi saya belum bersedia," ujar Luna.

Kembali ligat

Sekali terjebak, pasti sukar berpaling lagi. Luna kembali bekerja di kelab yang sama. Setahun mengabdi diri, Luna berubah angin ke sebuah pusat hiburan yang terkenal dalam kalangan golongan berada.

"Sebanyak 80 peratus pengunjung tempat itu lelaki Melayu berusia 30 tahun ke atas.

"Majoriti mereka sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan hebat. Sudah tentu kelompok pelanggan sebegini disukai gadis GRO kerana poket tidak akan pernah kering.

"Di situ saya bertemu dengan seorang lelaki Melayu yang merupakan pelanggan tetap saya. Hubungan kami bertukar menjadi lebih peribadi, jadi saya berhenti kerja sekali lagi dan tinggal bersamanya.

"Selama setahun saya hidup dengan duda muda itu. Kami berniat untuk berkahwin tetapi ditentang ibu bapanya.

"Semenjak itu, dia seperti acuh tak acuh dengan hubungan kami," singkap Luna yang terus angkat kaki dan kembali bergelar GRO.

Setiap malam, Luna membenarkan tangan-tangan lelaki miang menjalar pada segenap tubuhnya. Dibiar sahaja bibirnya dikucup tanpa sekelumit berahi.

"Apa yang saya fikir ketika menjalin asmara dengan mereka ialah duit yang bakal diterima," akui Luna.

Tidak dinafikan habuan bergelar GRO sangat lumayan iaitu mencecah belasan ribu ringgit dalam sebulan.

"Kadang-kadang saya dapat RM1,000 untuk tip sahaja dalam sehari. Bayangkan sahaja kalau semua pelanggan yang ditemui mewah sebegitu?

"Agak menghairankan, duit tidak pernah cukup. Ibu bapa pula semakin berani meminta macam-macam daripada saya.

"Segala permintaan mereka saya tunaikan. Pernah sekali, saya terpaksa dapatkan RM5,000 dalam masa tiga hari bagi menampung tiket penerbangan dan perbelanjaan mereka ke luar negara.

"Hati saya terguris dengan sikap mereka. Saya tahu saya silap, tetapi mereka alpa dengan kemewahan yang disogokkan. Mereka sanggup melihat anak sendiri tersesat daripada landasan agama," kesal Luna.

Bertemu sinar

Tahun ketiga sebagai GRO mempertemukan Luna dengan seorang lagi jejaka. Kali ini, dia lebih berhati-hati. Buat kesekian kalinya, Luna meninggalkan kerjaya GRO dan ditaja sepenuhnya lelaki tersebut.

Lelaki yang telah berkahwin itu mempunyai dua orang anak namun sedang mengalami krisis rumah tangga.

Pada awalnya, Luna dan lelaki itu hidup berasingan tetapi selepas sah bercerai, mereka tinggal sebumbung.

Selepas setahun bersekedudukan, mereka ditangkap khalwat dan mendirikan rumah tangga.

Perlahan-lahan, bayangan sebagai GRO pudar daripada pandangan mata Luna. Kemewahan bukan keutamaan, cukuplah dia ditemani anak dan suami tercinta.

"Saya bersyukur sebab suami turut mengambil inisiatif mengubah diri. Kami menyelami ilmu agama dan hidup dengan lebih tenang.

"Mujur ketika menjadi GRO saya tidak membeli kereta atau rumah. Jika tidak, pasti sukar untuk lari daripada kerja itu kerana perlu membayar pembiayaan aset-aset tersebut," cerita Luna yang telah tiga kali menggugurkan kandungan sepanjang menjadi GRO.

Pengalaman yang ditempuhi Ruby, 28, pula disulami selembar babak pahit. Tugas seorang GRO bukan sekadar melayan kerenah lelaki malah perlu bijak memberikan kata-kata manis.

"Semua GRO perlu tahu mengambil hati pelanggan. Kadang-kadang niat itu bukan hendak menggoda tetapi sering disalah erti.

"Kesannya, saya pernah dikasari beberapa lelaki akibat menolak keinginan mereka untuk bersetubuh.

"Ada pula kes membabitkan isteri dan teman wanita pelanggan yang datang menyerang saya kerana menyangka kami mempunyai hubungan istimewa.

"Pelanggan yang baru berjinak-jinak ingat semua GRO boleh dibawa ke ranjang sedangkan ada yang hanya bekerja mengikut had.

"Misalnya, segelintir GRO memang bertugas menemani pelanggan menyanyi dan tidak melibatkan sentuhan fizikal apatah lagi berasmara.

"GRO yang memilih untuk menggadaikan maruah dibayar dengan harga yang jauh lebih tinggi.

"Namun, bukan semua pusat hiburan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan," jelas Ruby yang telah mendampingi kerjaya itu sejak tahun 2005 lagi.

Seperti Luna, Ruby juga beberapa kali cuba menyelamatkan diri daripada terus hanyut sebagai GRO.

Ruby pernah berhenti untuk tiga bulan tetapi desakan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tinggi memaksa wanita itu berpatah balik.

Kaki kikis

Ibarat tiada noktah, Ruby memperdagangkan diri bagi menampung kos persekolahan adik-adiknya.

Tanggungjawab selaku anak sulung cukup menyeksa Ruby sehingga dia tidak lagi mengendahkan pandangan serong orang terhadap dirinya.

"Pada tahun 2010 saya berhenti lagi dan kali ini ada sedikit perubahan. Saya tidak bergantung sepenuhnya pada pekerjaan itu kerana pada siang hari, saya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat.

"Semenjak itu, saya jarang bekerja malam dan hanya datang demi memenuhi permintaan pelanggan tetap.

"Semakin lama dalam bidang ini, saya bertambah letih dan banyak berfikir tentang tujuan hidup yang sebenar," ceritanya.

Tambah Ruby, GRO dikelaskan kepada dua kategori. Kelompok pertama terdiri daripada mereka yang digelar kaki kikis manakala yang kedua ialah GRO yang betul-betul bekerja bagi memperbaiki kesempitan hidup.

GRO kaki kikis selalunya mengambil kesempatan atas kemewahan yang dilimpahkan pelanggan kepada mereka. Golongan sebegini sanggup berbuat apa sahaja asalkan kehendak materialistik mereka dipenuhi.

Merujuk pada dunia GRO, kumpulan kaki kikis lebih digemari pelanggan kerana tuntutan batin mampu dilaksanakan dengan baik. Berbeza pula dengan GRO yang masih memiliki pertimbangan, mereka sering didekati lelaki budiman.

"Memang ada pelanggan yang baik hati. Selalunya mereka akan bertanya kenapa bekerja macam ini, bercerita masalah keluarga dan kerja namun mereka tidak berbuat apa-apa dengan saya.

"Lelaki sebegini tidak lokek memberi duit apatah lagi selepas mengetahui saya ada anak dan adik yang perlu ditanggung.

"Nama pun GRO, terpaksa tebalkan muka menerima pemberian tersebut," jelas Ruby yang tidak percaya pada pelanggan yang mengajaknya berkahwin.

Sebagai GRO yang masih belum meninggalkan dunia itu secara rasmi, Ruby tidak bercadang untuk kekal berada dalam kancah maksiat itu. Berdasarkan pemerhatiannya, GRO yang sudah berusia sukar membina hidup baharu.

"Lebih menyedihkan apabila kebanyakan GRO yang berumur 35 tahun ke atas sudah bersuami dan apa yang anda rasa melihat suami mereka sendiri hantar isteri pergi kerja menjual maruah?" bentak Ruby yang jelik dengan sikap lelaki dayus sebegitu.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©