http://akubudakkola.blogspot.com
|
|
APABILA berbicara mengenai figura yang bernama Muhammad Murali Abdullah, 48, boleh dikatakan hampir semua karya yang dihasilkan pengarah tersohor itu mampu menyuntik sinar keinsafan buat mereka yang menontonnya.
Memilih untuk mengangkat tema keislaman dalam kebanyakan drama arahannya, tidak keterlaluan jika dikatakan Murali tidak pernah gagal menampilkan hasil kerja terbaik untuk tatapan semua pihak.
Malah, banyak mata pasti akan mengalirkan mutiara jernih di pipi lantaran jiwa mereka turut dibawa masuk untuk menyelami perasaan setiap watak yang dipaparkan.
Rentetan daripada karya yang berkualiti dan dilihat penuh jujur oleh masyarakat, Murali boleh berbangga apabila turut mendapat pengiktirafan daripada mereka yang tahu menghargai karya seninya.
Terbaru, trofi Pengarah Terbaik Drama Anugerah Skrin (ASK) 2010 menjadi miliknya menerusi karya hebat Sebelum Akhirat pada majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 24 Disember lalu. Ia sekali gus mengulangi kejayaan Murali pada majlis ASK 2008 melalui drama Suara Saleha.
Satu demi satu momen indah yang dilalui Murali dalam bidang pengarahan memberi kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata. Siapa sangka impiannya untuk bergelar pengarah terkenal sewaktu kecil berjaya digapai.
Namun, untuk mencapai kedudukan hingga ke tahap sekarang, terlalu banyak liku dan ranjau berduri yang terpaksa ditempuh oleh anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu.
Semua itu mengajarnya erti kehidupan dan semangat untuk tidak berputus asa selagi apa yang diimpikan tiada dalam genggaman.
Menyusuri lembaran sejarah dalam kanvas kehidupan Murali, zaman kecilnya dilalui penuh sederhana dan seadanya.
Malah kesempitan hidup yang dialami keluarga membuatkan anak lelaki yang dilahirkan dengan nama Muralitharan Vadivelu itu tidak mampu dihantar ke tadika sebagai persediaan sebelum memasuki alam persekolahan.
Perkara itu menyebabkan Murali tidak mahir berbahasa Melayu dan Inggeris sekali gus menjadi seorang pelajar yang agak pendiam di sekolah.
Lantaran rasa rendah diri yang dialami, Muralitharan agak ketinggalan di dalam kelas berbanding rakan-rakan yang lain. Malah, dia juga tidak mempunyai ramai kawan kerana jarang bergaul.
Namun, apabila melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Alor Star, Kedah, sedikit demi sedikit anak kedua daripada lima adik-beradik itu mula menunjukkan perubahan. Keyakinan diri dapat dibina apabila melihatkan ramai rakan yang lebih pemalu dan pendiam.
Sertai uji bakat
“Saya kemudian dilantik sebagai ketua kelas kerana dilihat lebih berkeyakinan dan berketrampilan berbanding rakan yang lain. Sejak itulah saya mula menjadi seorang yang berani untuk menunjukkan kemampuan diri,” imbau Murali mengenai zaman persekolahannya.
Menceritakan detik awalnya meminati bidang seni, segala-galanya bermula apabila Murali mengikut kawan menyertai uji bakat untuk berlakon drama di sekolah.
Apabila disuruh melakonkan satu watak, Murali berjaya melakukannya dengan baik dan mendapat pujian.
“Hasil uji bakat tersebut, saya diambil untuk berlakon dalam drama sekolah. Apabila dapat berlakon di atas pentas, ia memberikan keseronokan yang tidak terhingga.
“Jadi, pada tahun berikutnya, saya telah menghasilkan skrip bertajuk, A Murder in Tongkang Yard dan drama itu dipentaskan di sekolah. Sejak itu saya terus berminat untuk menulis skrip dan belajar mengenai bidang ini,” terang bapa tunggal kepada dua cahaya mata ini.
Bagaimanapun, minat yang mekar subur dalam hatinya berdepan pelbagai cabaran apabila skrip yang dihasilkan sering mendapat kritikan dan dibakulsampahkan.
Sedih dengan situasi tersebut membuatkan Murali beralih arah untuk menjadi seorang kelasi kapal. Tetapi hajatnya tidak kesampaian apabila pemeriksaan kesihatan yang dijalani membawa khabar buruk.
Doktor yang memeriksa Murali memberitahu dia mempunyai masalah jantung yang serius dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.
Berang dengan maklumat yang disampaikan doktor, Murali menafikan dirinya tidak sihat. Lalu dengan memakai kasut sukan, dia berlari selaju-lajunya di landasan kereta api untuk membuktikan keputusan doktor itu silap.
|
|
Malangnya, jantung Murali hampir terhenti hingga nyaris-nyaris mengorbankan nyawanya. Kemudian, barulah dia sedar penyakit berbahaya yang dialami dan terus menangis sepuas hati hingga ke malam.
Selepas perasaannya tenang, Murali berazam tidak mahu menjadikan penyakitnya sebagai alasan untuk tidak boleh berjaya.
“Masa itu saya rasa tidak mahu sekadar menjadi manusia biasa. Sekurang-kurangnya saya mahu mati sebagai manusia berguna. Jadi, saya ingin melakukan perkara yang di luar kemampuan. Antaranya saya pernah membuka perniagaan restoran selama tiga tahun sebelum ditutup kerana kerugian,” katanya.
Selain itu, Murali pernah bekerja sebagai pemandu kepada seorang doktor dengan pendapatan RM180 sebulan sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1988.
Di kota, Murali sekali lagi menjadi pemandu kepada sekumpulan orang Cina yang berkedudukan. Tetapi, masuk hari ketiga dia diberhentikan atas alasan tidak mahir dengan selok-belok jalan di Kuala Lumpur dan dibayar gaji RM50.
Berbekalkan wang tersebut, Murali membeli beberapa akhbar termasuk Malay Mail yang memaparkan iklan untuk mencari krew filem bagi produksi HVD.
Enggan melepaskan peluang keemasan tersebut, Murali terus ke pejabat HVD di Damansara menaiki teksi. Walaupun diberitahu jawatan tersebut sudah diisi, dia tetap berkeras untuk berjumpa pengurus.
Petunjuk melalui mimpi
“Apabila dibawa ke bilik pengurus yang bernama William Loo, saya terus bercakap untuk bekerja dengan produksi tersebut tanpa mengira apa tugasnya dan tidak perlu dibayar gaji.
“Akhirnya, saya diterima bekerja sebagai tukang cuci di sana. Rutin saya setiap hari adalah mencuci tandas, mencuci kereta pekerja dan sebagainya. Tapi, saya sembunyikan penyakit yang dialami.
“Walaupun sekadar mencuci tandas saya tetap gembira kerana dapat melihat cara untuk mengarah drama atau filem,” tutur Murali yang kemudian menapak langkah demi langkah hingga berjaya mencapai impiannya menjadi pengarah.
Meskipun kini sudah mempunyai nama yang kukuh dalam industri seni tanah air, namun Murali tidak mahu mendabik dada di atas segala kejayaan yang dikecapi.
Sebaliknya, dengan kerendahan hatinya, Murali mengakui segala apa yang ada dalam dirinya datang daripada Allah S.W.T. Justeru, sebagai manusia tiada apa yang boleh dibanggakan kerana bakatnya sebagai karyawan seni adalah ilham daripada Yang Maha Esa.
“Saya cuma melaksanakan tanggungjawab berdakwah kepada masyakarat melalui karya-karya yang dihasilkan dengan harapan ia dapat menyuntik kesedaran untuk memperbaiki diri dan kembali ke jalan yang benar,” tulus ungkapan yang lahir dari mualaf yang memeluk Islam pada tahun 1997.
Berkongsi pengalaman tentang hijrah terbesar dalam hidupnya iaitu memeluk Islam, Murali tidak malu mengaku pada awalnya, dia bukan seorang Muslim yang baik kerana pengislamannya sekadar mahu berkahwin dengan wanita Melayu.
Tetapi, selepas tiga tahun bergelar penganut agama Islam, Murali diberi petunjuk melalui mimpi yang tidak mungkin dilupakan hingga ke hujung nafasnya.
“Mimpi disuruh membaca al-Quran oleh Rasulullah S.A.W di sebuah padang pasir tandus dan mampu membacanya dengan baik walaupun realitinya saya tidak pandai membaca al-Quran teramat indah.
“Suara bacaan saya juga terlalu merdu dan sedap didengar. Inilah permulaan hijrah sebenar hidup saya. Kemudian, selepas membaca riwayat kisah hidup Nabi Muhammad S.A.W ketika sakit selepas menjalani pembedahan, terus saya jatuh cinta dengan keperibadian Baginda S.A.W dan berazam untuk menjadi seorang Muslim terbaik,” ungkap Murali sambil mengingatkan pada semua agar membaca perjalanan hidup Rasulullah pedoman sepanjang hayat.
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©