Kanak-Kanak Maut Leher Tersangkut Besi Tingkap Nako

Friday, August 08, 2014 by
MOHD Faiz menunjukkan tingkap tempat adiknya, Nurliana (gambar kecil) tersangkut hingga maut. 


Kuala Terengganu: Menyayat hati apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut dalam keadaan tergantung selepas lehernya tersangkut pada besi tingkap cermin nako rumahnya di Kampung Losong Feri di sini, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa Nurliana Nabila Mazlan yang berada dalam bilik tidurnya berusaha keluar menerusi tingkap berkenaan selepas mendapati pintu bilik terkunci dari luar dan dalam, jam 3.30 petang.

Ketika kejadian, mangsa yang juga anak bongsu daripada lima beradik dikatakan bersendirian dalam bilik berkenaan manakala seorang daripada empat abangnya, Mohd Faiz, 18, tidur dalam bilik berasingan dan ibunya, Rohaizan Zain, 42, tiada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Muzium Negeri, 300 meter dari rumah.

Menurut Mohd Faiz, dia menyedari kejadian itu selepas diberitahu jiran sebelum menendang pintu bilik bagi melihat keadaan yang berlaku.

Katanya, selepas memecahkan pintu bilik berkenaan, dia terkejut melihat adiknya dalam keadaan longlai tergantung pada besi tingkap cermin nako yang tersangkut pada lehernya.

“Ketika itu keadaan adik seperti longlai, langsung tidak bermaya dengan leher tersangkut pada besi tingkap manakala badannya tergantung di luar dinding bilik,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, pintu bilik tidur arwah sudah lama rosak dan akan terkunci dengan sendiri apabila ditutup rapat.

“Saya percaya adik masuk serta menutup rapat pintu berkenaan dan ketika mahu keluar dia tidak dapat membuka pintu lalu mengambil jalan mudah dengan keluar menerusi tingkap cermin.

“Bagaimanapun, sebaik sebahagian badannya sudah berada di luar rumah, arwah dipercayai kepenatan menyebabkan bahagian lehernya tersangkut pada besi tingkap mengakibatkan dia sukar bernafas.

“Saya bersama jiran mengeluarkan adik dari celah tingkap dan keadaannya ketika itu cukup lemah,” katanya.

Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka adiknya pergi sekelip mata ketika suasana Aidilfitri masih terasa.

Katanya, adiknya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap dan sangat ceria ketika menyambut Aidilfitri.

“Tak sangka tahun ini Aidilfitri terakhir baginya selepas kehilangan ayah, Mazlan Mamat yang meninggal dunia setahun lalu,” katanya.

Jiran, Sukri Yusof, 40, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar suara meminta pertolongan dari rumah mangsa dan terkejut apabila melihat Mohd Faiz dan beberapa penduduk sedang memangku arwah yang tergantung di luar dinding bilik berkenaan.

“Leher arwah tersangkut pada besi tingkap cermin dan kami berusaha secara perlahan mengeluarkan kepalanya,” katanya.

Katanya, ketika kejadian dia baru pulang dari bekerja pada jam 3.30 petang dan arwah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, menggunakan ambulans bomba sebelum disahkan meninggal dunia ketika rawatan kira-kira jam 5.30 petang, semalam.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Ismail Mat Hassan mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.14 petang sebelum segera ke tempat kejadian bersama sembilan anggota.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dikeluarkan orang awam dan pihaknya memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan ambulans bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital jam 5.30 petang," katanya.

Oleh Zaid Salim