Pengemis Wanita Warga Emas Tinggalkan Harta RM2.5 Juta!

Saturday, July 05, 2014 by


Kematian seorang wanita warga emas berusia 100 tahun, Eisha di Jeddah baru-baru ini membawa kepada pendedahan mengejutkan buat jiran-jirannya.

Ini kerana Eisha, seorang individu cacat penglihatan yang hanya bergantung hidup melalui kegiatan mengemis rupa-rupanya menyimpan kekayaan persis seorang jutawan apabila dia meninggalkan harta berjumlah SAR3 juta (2.5 juta), termasuk empat rumah di Jeddah, barangan kemas dan syiling emas.

Eisha yang mengemis sejak 50 tahun lalu dilaporkan mati di bilik mandi di rumahnya secara tiba-tiba, baru-baru ini.

Menurut salah seorang jirannya, Ahmeh Al-Saeedi yang membesar bersama Eisha sejak mereka kecil lagi mengatakan si mati tidak mempunyai ahli keluarga lain melainkan ibu dan kakaknya yang mana mereka pun bergelar pengemis sehinggakan aktiviti tersebut berjaya menjadikan mereka kaya raya dan menyimpan aset seperti orang kaya lain di sana.

“Mereka sentiasa mendapat perhatian dan simpati daripada masyarakat yang prihatin dengan hidup miskin mereka, terutamanya ketika musim perayaan hari raya Aidilfitri. Eisha pun masih terus mengemis walaupun selepas kematian ibu dan kakaknya. Eisha hanyalah seorang warga emas yang buta dan sebatang kara di dunia ini (selepas kematian ahli keluarganya),” katanya.

Al-Saeedi turut mengakui dirinya tahu mengenai kekayaan yang dimiliki Eisha hasil daripada kerja mengemisnya dan sebelum ini dia juga pernah menasihati wanita tersebut untuk berhenti daripada terus mengemis.

“Saya memintanya berhenti daripada mengemis memandangkan dia sudah mempunyai kekayaan yang cukup mewah tapi dia sentiasa menolak kerana merasakan hartanya masih tidak mencukupi sekiranya berlaku sebarang kecemasan di masa hadapan,” katanya lagi.

Harta benda yang ditinggalkan Eisha akan diambil alih oleh pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut berhubung aset yang dimiliki pengemis cacat penglihatan itu.

Siapa sangka kan, dengan hanya mengemis sahaja, Eisha boleh bergelar jutawan malah mempunyai aset sendiri pula tu!

Oleh: AUDREY LEE