Pembunuh Dan Perogol 'Cinang' Disifatkan Sebagai Binatang

Saturday, May 11, 2013 by
Cinang @ Nur Amyliana Shuhada 

 

Shahrizat bersama ibubapa Nur Amyliana, Acha Kusain (kanan) dan Mohd Noor Mustapa (kiri) semasa menziarahi keluarga mangsa di Bukit Tinggi Klang hari ini.


KLANG - Penyodok tanah yang ditemui polis berhampiran mayat Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, mungkin petunjuk jelas dua suspek yang ditahan mahu menanam kanak-kanak itu.

Ahli keluarga terdekat mangsa yang mahu dikenali sebagai Al-Naziz, 19, berkata ada penduduk melihat dua suspek terbabit membawa peralatan itu di kawasan padang, tidak jauh dari mayat mangsa ditemui di Jalan Batu Nilai 1E, Bukit Tinggi, di sini.

“Saya dimaklumkan beberapa penduduk melihat dua lelaki itu membawa penyodok di kawasan padang berkenaan,” katanya.

Suspek berusia 19 dan 24 tahun itu dipercayai membawa mayat Nur Amyliana atau lebih mesra dengan panggilan Cinnang menggunakan sebuah kereta bagi mengelakkan perbuatan mereka membunuh mangsa diketahui orang ramai.

Namun, hasrat untuk menanam mangsa terpaksa dilupakan apabila kawasan berkenaan menjadi laluan orang ramai dan dalam keadaan terdesak mereka hanya meninggalkan mayat mangsa di atas jalan di kawasan lapang berkenaan sebelum melarikan diri.

Pelaku kes bunuh dan rogol kanak-kanak berusia 11 tahun di Bukit Tinggi di sini semalam telah disifatkan sebagai binatang oleh Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata jenayah kejam seperti itu perlu dibendung supaya ia tidak berulang pada masa akan datang, terutamanya terhadap kanak-kanak dan wanita.

"Mangsa baru berusia 11 tahun, tergamak mereka lakukan perbuatan ini, saya tidak tahu ini manusia atau binatang," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa di sini hari ini.

Semalam, mayat seorang kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11, dipercayai mangsa kes bunuh ditemui terbaring di medan letak kereta, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Md Yusop berkata pemeriksaan awal pihak hospital mendapati Nur Amyliana Shuhada meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya, kecuali kesan pendarahan di bahagian kemaluan mangsa.

Polis bertindak menahan dua suspek berusia 19 dan 24 tahun di sekitar tempat kejadian sejurus menerima laporan mengenai kes itu dan mereka direman tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berharap pihak polis akan melakukan siasatan secepat mungkin dan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi memastikan mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

"Ibu mangsa ada beritahu saya tadi, beliau mahu supaya siasatan dilakukan secepat mungkin dan mendakwa penjenayah supaya kejadian sama tidak menimpa mangsa lain," katanya.

Beliau berkata, kawasan kejadian merupakan kawasan gelap terutamanya pada waktu petang dan malam sebagaimana dimaklumkan Skuad Sayang Wanita Umno di kawasan itu.

"Kawasan gelap bukan alasan, apa yang pasti kita mahu Malaysia selamat terutama dari kejadian seperti ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad ketika dihubungi berkata laporan bedah siasat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mendapati Nur Amyliana Shuhada mati akibat lemas dan berkemungkinan suspek menggunakan alat seperti tuala atau bantal.

"Doktor turut mengesahkan tiada kesan kecederaan ditemui pada anggota badan tetapi berdasarkan kesan pendarahan di bahagian kemaluannya, mangsa telah dirogol sebelum dibunuh," katanya.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©