SUBANG JAYA – Misteri kehilangan William Yau Zhen Zhong (gambar kecil), 6, selama sembilan hari berakhir semalam apabila ibu bapanya mengenal pasti mayat kanak-kanak yang dijumpai terapung dalam keadaan mereput di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin merupakan anak mereka.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mayat kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai William berdasarkan pengecaman oleh Yau Kok Kang dan isterinya, Goh Ying Ying yang menemui dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak berkenaan yang mempunyai persamaan dengan William.
“Ibu bapa William turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam pada mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.
“Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati mayat kanak-kanak yang dijumpai semalam (kelmarin) 75 peratus mirip William,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Bagaimanapun, menurut Yahaya, kesahihan 100 peratus identiti mayat tersebut hanya dapat ditentukan selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan dalam tempoh tiga hari.
Sampel tulang dan rambut mayat itu diambil untuk analisis DNA.
Tinjauan Kosmo! mendapati Ying Ying, 28, dan Kok Kang, 32, hadir membuat pengecaman terhadap mayat tersebut di bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada pukul 12.30 tengah malam dan pukul 11 pagi semalam.
Pasangan suami isteri itu enggan ditemui kerana terlalu sedih selepas melihat mayat kanak-kanak itu.
Yahaya memberitahu, hasil bedah siasat selama sejam yang selesai pukul 12.30 tengah hari semalam mendapati kanak-kanak yang dijumpai itu sudah meninggal dunia dalam tempoh kira-kira seminggu lalu.
Bagaimanapun, kata beliau, punca sebenar kematian mangsa belum dapat ditentukan kerana keadaan mayat yang reput dan banyak organ dalaman sudah rosak.
Hasil bedah siasat tidak menemui kesan kecederaan luaran kecuali kesan gigitan binatang dipercayai ketika mayat itu berada dalam air.
Yahaya berkata, dengan penemuan mayat itu, polis menganggap kes kehilangan William sudah selesai dan setakat ini kematian mangsa diklasifikasi sebagai kematian mengejut.
William, anak kedua daripada tiga beradik, dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights di sini selepas mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
Lokasi Sungai Sireh tempat penemuan mayat itu terletak 33 kilometer dari Putra Heights, tempat William dilaporkan hilang.
Kawasan Putra Heights tiada sungai tetapi terdapat sebatang sungai di Bukit Lanchong yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Putra Heights.
Sungai di Bukit Lanchong itu bersambung dengan Sungai Sireh yang kemudian mengalir ke arah Pelabuhan Klang.
Polis belum dapat merungkai bagaimana kanak-kanak itu boleh ditemui mati di sungai kerana lokasi mangsa hilang terletak jauh dari sungai.
Jarak sungai di Bukit Lanchong dengan Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang ialah 30 kilometer.
ANGGOTA polis memeriksa Jeti Sungai Sireh tempat mayat seorang kanak-kanak ditemui kelmarin.
Seorang nelayan tidak menyangka hajatnya untuk memanaskan enjin bot di Jeti Sungai Sireh di sini petang kelmarin membawa kepada penemuan satu mayat kanak-kanak yang terapung.
Satarudin Kamal, 45, berkata, dia ternampak mayat terapung dalam keadaan terlentang, tangan mendepang manakala kaki pula terkangkang ketika air sedang surut pada pukul 6.30 petang.
Satarudin yang merupakan Pengurus Pasar Nelayan di pelabuhan itu berkata, dia terus menarik mayat yang sudah kehilangan kedua-dua belah mata, betis mereput sehingga menampakkan tulang dan kembung ke tepi jeti lalu mengikat mayat itu pada jeti sebelum menghubungi Balai Polis Pelabuhan Klang.
Satarudin Kamal
"Setiap petang saya sentiasa memeriksa bot dan memanaskan enjin bot dan semalam (kelmarin) saya nampak satu mayat terapung dengan separuh muka tenggelam.
"Semasa ditemui mayat itu masih memakai baju T dan berseluar," katanya sambil memberitahu pada setiap petang dia sentiasa berada di jeti untuk memeriksa bot miliknya.
Satarudin yang juga ketua pangkalan jeti di situ memberitahu, dia tidak terkejut ketika ternampak mayat terapung kerana sebagai nelayan kejadian terserempak dengan mayat terapung sama ada di laut atau di sungai sudah kerap dialaminya.
"Masa saya lihat objek hanyut, saya memang tahu itu mayat sebab saya sudah selalu jumpa mayat terapung," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Sireh di sini.
Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang budak lelaki berusia sekitar enam tahun ditemui tersangkut di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau di sini. Semasa ditemui mayat itu memakai baju T yang mempunyai tulisan Active Group dan Best Team.
Oleh NORHAYATI YAHAYA
dan NOR SHAFAWATI YUP
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©