Remaja Mati Ditembak Semasa Cuba Rompak Kedai Serbaneka

Tuesday, December 18, 2012 by
MAYAT remaja yang mati ditembak polis selepas cuba merompak kedai KK Mart di Taman Sri Rampai.Difahamkan, suspek dipercayai anak kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas di Melaka.



KUALA LUMPUR - Cubaan merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam KK Mart di Taman Sri Rampai, di sini, awal pagi semalam gagal apabila kegiatan dua penjenayah terbabit disedari polis yang sedang membuat rondaan.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, empat pekerja yang sedang bertugas didatangi dua lelaki bersenjatakan parang bertindak mengacukan parang ke arah seorang pekerja yang berada di kaunter.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata, tindakan suspek mengacukan parang memaksa pihak polis melepaskan beberapa das tembakan.

“Polis melepaskan tembakan kerana cubaan bunuh anggota. Suspek ditembak di bahagian dada dan mati di tempat kejadian. Manakala seorang pekerja cedera di leher akibat terkena parang semasa diugut suspek.

“Polis turut menemui sebuah motosikal yang ditinggalkan suspek dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian itu turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan. Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 394 dan 307 kanun keseksaan.


Difahamkan, suspek dipercayai anak kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar yang bertugas di Melaka.

Rakan suspek yang bersenjatakan parang sempat melarikan diri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, rancangan dua suspek merompak kedai 24 jam itu disedari pasukan polis yang secara kebetulan membuat rondaan di kawasan tersebut.

“Salah seorang suspek yang sedang mengacukan parang ke arah juruwang panik apabila dia melihat kehadiran polis. Suspek terus mengacukan parang ke arah anggota polis sebelum melarikan diri,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, pengurus kedai serbaneka itu, yang enggan dikenali berkata, dua suspek sama telah merompak sebuah lagi cawangan kedai serbaneka miliknya di Wangsa Maju petang kelmarin.

Menurutnya, dia rugi lebih RM1,000 dan telah membuat laporan polis.

“Untuk tahun ini sahaja, di sini (cawangan Sri Rampai) telah dirompak sebanyak 15 kali,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©