Abang Maut Dibelasah Adik Yang Berusia 15 Tahun

Sunday, December 02, 2012 by

 Sebuah rumah kelamin di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas inilah lokasi seorang remaja maut dibelasah oleh adiknya sendiri.


“Walau apapun yang berlaku, saya tetap maafkan dia,” kata Nayati Man, 33, ibu Muhammad Asyraf Muhammad Shukri, 17, yang maut apabila ditumbuk adiknya selepas kedua-duanya bergaduh di rumah mereka di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, malam kelmarin.

   
     
Seorang remaja maut selepas dibelasah oleh adik kandungnya dalam satu pertengkaran di Kem Sungai Ara, Bayan Lepas di George Town malam tadi.
   
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 17, mati akibat mengalami kecederaan dalaman di kepala di Hospital Pulau Pinang (HPP).
   
Difahamkan pertengkaran berlaku apabila suspek, 15, yang baru pulang ke rumah dikatakan mengusik adik perempuan mereka yang berusia enam tahun.
   
Mangsa yang sedang berbaring di atas sofa dikatakan tiba-tiba bangun dan terus menendang suspek.
   
Marah dengan tindakan abangnya, suspek kemudian bertindak menumbuk bahagian kepala abangnya berkali-kali sehingga rebah di atas lantai.

Mangsa, anak sulung daripada tiga beradik itu baru sahaja selesai menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Isnin lalu.

Menurut jurucakap polis, ibu mereka cuba meleraikan pergaduhan antara dua beradik itu namun gagal dan juga meminta jiran untuk membawa mangsa ke HPP.
   
"Polis sudah menahan suspek di kediaman mereka bagi membantu siasatan," katanya.
   
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

- Bernama

0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©