Kali ini,kita akan melihat beberapa faktor penting sebelum anda membuat keputusan membeli kereta terpakai, atau lebih popular, kita sebut sebagai kereta 2nd hand.
Kereta
terpakai biasanya dijual jauh lebih murah berbanding kereta yang
didaftar baru, walaupun pada tahun yang sama. Begitupun, beberapa
perkara perlu diberi perhatian sebelum anda membuat keputusan untuk
membeli sebuah kereta terpakai.
Pertama
dan yang paling penting ialah keadaan kereta itu sendiri. Pemandu dan
pemilik terdiri daripada pelbagai latar belakang dan corak pemanduan.
Ada
orang yang betul-betul menjaga kereta, servis, dibasuh dan dicuci
kerap, serta jadual penyelenggaraan yang dipatuhi. Sebahagian yang lain
pula, hanya menganggap kereta sebagai alat pengangkutan dari A - B, jadi
ia dijaga setakat yang perlu sahaja.
Malah ada orang yang tidak mengambil peduli langsung. Asalkan kereta boleh dihidupkan, isi minyak dan jalan.
Kondisi
kereta yang baik tentulah menjadi keutamaan. Kondisi ini juga perlu
diteliti khasnya di bahagian enjin. Jika anda kurang arif tentang
sesebuah kereta, minta pertolongan dari mereka yang berpengalaman atau
mekanik untuk memeriksa keadaan enjin.
Hidupkan
enjin untuk beberapa ketika bagi melihat sebarang kerosakan yang boleh
dikesan dari peringkat awal. Cuba tekan pedal minyak dan dengar sebarang
bunyi yang tidak sepatutnya.
Teliti
kesan tumpahan atau bekas lelehan minyak atau sebarang pelincir.
Pastikan juga alat penghawa dingin berfungsi, motor elektrik dan
bahagian mekanikal yang boleh diperiksa semasa keadaan statik diteliti.
Jangan
sekali-kali membeli kereta berdasarkan keadaan luaran dan enjin yang
kelihatan bersih/senyap semata-mata. Cuba minta pandu uji kereta
tersebut. Bawa pada kelajuan sederhana 40-60km/j dan dengar sebarang
bunyi.
Jika
kenderaan tersebut bertransmisi automatik, dengar sebarang bunyi yang
tidak menyenangkan sewaktu gear ditukar secara menaik (D1-D4), kemudian
menurun dari D4 - D1. Kotak gear yang baik selalunya akan menukar gear
secara lembut dan lancar.
Tanda-tanda awal penyakit transmisi automatik boleh dikesan menerusi gear hold yang lama. Biasanya terjadi pada gear 2 dan 3 sebelum ia jerking untuk masuk ke gear seterusnya.
Dalam kes yang lebih teruk, gear terakhir atau overdrive tidak
dikunci, jadi transmisi tersebut hanya berada dalam posisi D3 sahaja.
Mereka yang mahir biasanya dapat membezakan situasi ini dengan
memerhatikan takat putaran enjin (rpm) berbanding kelajuan.
Jika
kereta yang hendak dibeli masih menyimpan rekod servis dan pembaikan,
ia adalah satu bonus untuk anda. Sekurang-kurangnya anda tahu jadual
penyelenggaraan dan bengkel mana ia diselenggara.
Rekod penyelengaraan major seperti penukaran talisawat enjin (timing belt), pam air, servis radiator dan penghawa dingin dan bahagian lain boleh dijadikan asas untuk penjagaan seterusnya.
Rekod
servis ini juga membolehkan anda (dan mekanik anda) menyemak sebarang
kerosakan yang pernah dibaiki. Jadi, jika berlaku sebarang masalah di
kemudian hari, ia boleh dijadikan rujukan.
Pastikan
kereta yang hendak dibeli tidak pernah terlibat dalam kemalangan
serius. Kemalangan kecil adalah perkara lazim, namun selagi ia tidak
melibatkan kerangka, ia masih boleh dipandu dengan selamat.
Awasi
juga 'kereta sambung' atau 'kereta potong'. Ia boleh diperiksa menerusi
tiang A, bawah lantai pemandu hadapan dan juga lantai penumpang
belakang. Sekali lagi, bawa mereka yang pakar jika anda was-was dan
kurang yakin. Kereta yang disambung ini tidak selamat berada di jalan
raya.
Kereta yang masih dalam jaminan (warranty period) adalah
satu bonus tambahan. Pun begitu, sila semak dengan pengeluar sama ada
jaminan tersebut boleh dibawa ke hadapan walaupun setelah bertukar
pemilik.
Ini
kerana ada sesetengah jaminan bukan diberikan oleh pengeluar,
sebaliknya oleh pihak insurans berdasarkan perjanjian asal. Jadi,
jaminan tersebut tidak disambung sekiranya kereta ditukar milik kepada
nama lain.
Setelah
berpuas hati dengan keadaan kenderaan secara keseluruhannya, tiba
masanya melihat dokumen kenderaan tersebut. Bagi kereta terpakai belum
daftar (unregistered), dokumen yang wajib ada ialah permit import (AP) yang harus dilampirkan bersama-sama untuk tujuan pendaftaran kenderaan.
Sila
teliti dokumen AP ini di bahagian cukai. Pastikan duti kastam sudah
dijelaskan. Pastikan juga maklumat kapasiti enjin dan tahun dibuat
kerana nilai kereta adalah berdasarkan tahun dibuat.
Bagi kereta terpakai recond sudah
daftar pula, pastikan salinan geran dan AP adalah sama maklumatnya.
Geran harus dilampirkan bersama AP untuk tujuan pinjaman bank.
Bagi
kereta terpakai dalam prosedur biasa pula, cuba semak dengan teliti
geran tersebut. Dengan nombor kenderaan itu juga, anda boleh menyemak
sejarah pemilikan dan rekod di Jabatan Pengangkutan Jalan.
Jangan
sekali-kali membeli kereta terpakai tanpa melihat terlebih dahulu
gerannya. Ada kes kereta yang dijual dua kali, pembeli kedua tidak
mengetahui bahawa kereta tersebut sebenarnya masih dalam pembiayaan
pihak bank oleh pemilik lain.
Jika
anda membeli daripada individu, pastikan juga bahawa kereta tersebut
tidak mempunyai baki hutang melebihi harga jualan atau nilai pinjaman.
Melainkan penjual bersetuju untuk menyelesaikan kadar perbezaan pinjaman dan nilai penyelesaian penuh (full settlement amount). Jika anda membuat pinjaman semula, maklumat ini boleh diperoleh menerusi bank peminjam anda. Penyelesaian (settlement) akan diuruskan oleh bank anda dengan peminjam lama.
Pinjaman
bagi kereta terpakai biasanya berbeza mengikut bank. Setiap institusi
pinjaman mempunyai maklumat kadar pasaran yang berbeza sedikit antara
satu sama lain. Untuk model-model kurang popular pula, perbezaan ini
mungkin mencecah puluhan ribu ringgit.
Begitu juga dengan kadar faedah yang dikenakan. Justeru, dinasihatkan supaya anda melakukansurvey, bank mana yang memberikan faedah paling rendah dengan margin pinjaman dan bayaran balik yang munasabah.
Proses pinjaman bagi kategori ini (tidak melibatkan kereta terpakai dari pengedar kereta terpakai) biasanya disebut sebagai walk-in atau direct-case. Ia
biasanya mengambil masa yang lama berbanding proses menerusi wakil
penjual. Malah, sesetengah bank tidak menerima kes pinjaman secara direct-case kerana sebab-sebab tertentu.
Kos-kos
lain yang perlu anda tanggung ketika membeli kereta terpakai
termasuklah bayaran untuk proses penukaran hak milik, insurans dan
pemeriksaaan PUSPAKOM.
Ia
mungkin kedengaran agak rumit, namun menguruskan sendiri pinjaman ini
menjanjikan penjimatan yang banyak berbanding wakil penjual yang
kadangkala mengenakan bayaran terselindung yang tidak anda sedari.
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©