Gempar!! Penduduk Kampung Diganggu Hantu 'Pocong'

Thursday, October 25, 2012 by
Laluan keluar masuk penduduk kampung yang dikelilingi hutan bakau dan nipah.
 

KERIAN - Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali sebagai hantu ‘pocong’ sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka takut keluar rumah terutama waktu malam.

Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini.

Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.

“Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok.

“Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa disedari penunggangnya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam.

Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.

“Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam 11 malam.

“Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap.

“Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan,” katanya.

Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya.

“Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.

Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian.

Bagaimanapun, kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan ‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus di sini.

“Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan kampung.

“Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan turut terletak di kawasan kampung kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan itu.

“Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan mengganggu kami,” katanya.-SH


0 comments:

Post a Comment

KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©