MENERUSI akaun Twitter, Zahida Rafik menafikan dirinya terlibat dengan skandal seperti yang hangat diperkatakan ramai. Dia juga menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.
SEJAK Rabu lepas, namanya hangat menjadi bualan di laman-laman web serta portal hiburan tanah air. Itu semua gara-gara satu pembongkaran hubungan terlarang Zahida Rafik dengan seorang VIP.
Pembongkaran skandal yang didakwa dilimpahi kemewahan itu didedahkan oleh sekumpulan politik di lobi Parlimen baru-baru ini.
Memetik laporan blog-blog di Internet, Zahida, 37, didakwa meraih habuan besar hasil hubungan sulitnya bersama seorang kenamaan. Mereka didakwa berjumpa di hotel-hotel sekitar Kuala Lumpur, dan Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM200,000.
Wang itu bagaimanapun tidak dibayar terus ke tangan Zahida sebaliknya dibayar kepada pemandu yang juga pengawal peribadi Zahida. Lelaki berkenaan diupah oleh VIP tersebut sejak tiga tahun lalu.
Zahida dikatakan menerima wang sehingga RM1.4 juta dalam Oktober 2011 hingga Januari lalu.
Kepada pemerhati dunia hiburan, skandal Zahida bersama seorang VIP bertaraf Datuk itu sebenarnya bukan berita baharu.
Ramai yang curiga terhadap gaya hidup Zahida yang dianggap tidak seiring pencapaian karier lakonannya.
Sudah bertahun kisah Zahida itu cuba dirisik, namun dia sering menjelaskan kemewahannya itu adalah hasil keuntungan perniagaan yang diusahakan bersama ahli keluarganya.
Ramai yang mula mengerutkan dahi apabila Zahida membuat laporan polis setelah pemandu peribadinya melarikan wang tunai miliknya sebanyak RM200,000 baru-baru ini.
Pada 3 Mac lalu, sebuah akhbar bukan terbitan Kumpulan Utusan pernah melaporkan Zahida membuat laporan polis setelah wang tunai RM200,000 miliknya dilarikan.
Zahida yang popular menerusi filem komedi Anak Mami The Movie menyerahkan wang tunai berkenaan kepada pemandu lelaki berusia 37 tahun itu untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya, namun sejak itu, suspek berkenaan gagal dihubungi serta dipercayai sudah melarikan diri.
Zahida kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sendiri telah mengesahkan menerima laporan berkenaan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.
"Sebelum ini sudah banyak kali dia (pemandu peribadinya) membantu saya dalam urusan memasukkan duit ke dalam akaun bagi urusan kerja, tapi tidaklah jumlah yang besar sebegini.
"Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara," kata Zahida seperti yang dilaporkan.
Pemandu itu turut membuat laporan balas sebagai persediaan berdepan tuduhan Zahida. Menurut sumber, pemandu itu kemudian bertemu seorang peguam tanpa mengetahui latar belakang peguam berkenaan yang sebenarya ada kepentingan untuk menjatuhkan nama majikannya yang berstatus VIP.
Kosmo! menghubungi Zahida untuk mendapatkan ulasan daripadanya tetapi dia memilih untuk berdiam diri.
Ruangan Diva pada 18 Mac sebelum ini pernah menulis gosip berhubung kehidupan mewah yang diraih seorang artis tempatan sehingga mencecah ratusan ribu setiap kali mereka bertemu bagaimanapun tiada nama dikaitkan dalam artikel berkenaan.
Kredit: Sumber
0 comments:
Post a Comment
KOMEN @ AKU BUDAK KOLA©